|
KOTA KINABALU:
Bahasa Kadazandusun, satu daripada bahasa etnik di Sabah, akan
dijadikan mata pelajaran bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)
menjelang tahun 2008.
Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok berkata perkara
berkenaan telah dimaklumkan kepadanya oleh Jabatan Pelajaran dan
beliau menganggapnya sebagai satu pengiktirafan kepada kepentingan
ba-hasa berkenaan di negara ini, khususnya di Sabah.
“Sebenarnya, perkara ini bukan baru namun sebelum ini ia tidak diberi
fokus (oleh media). Sebab itu, di sini saya ingin mengambil kesempatan
memberitahu ahli-ahli parti dan media bahawa ia akan dijadikan salah
satu mata pelajaran dalam peperiksaan PMR
menjelang tahun 2008.
“Perkembangan ini amat baik kerana (melaluinya) kita dapat
menyelamatkan salah satu bahasa Borneo, bahasa Sabah yang juga bahasa
(rakyat) Malaysia. Di-sebabkan ini juga salah satu budaya Malaysia
dapat diselamatkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan
seminar pegawai-pegawai penerangan parti Pertubuhan Pasokmomogun
Kada-zandusun Murut Bersatu (Upko) di sini, kelmarin.
Menurut
Dompok, perkembangan pesat penggunaan bahasa Melayu di kalangan
masyarakat Kadazandusun di seluruh Sabah termasuk yang tinggal di
kawasan luar bandar menyebabkan bahasa ibunda berkenaan semakin
dilupakan.
Beliau
berharap pada tahun-tahun akan datang, bahasa Kadazandusun juga akan
dijadikan mata pelajaran untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan universiti tempatan.
Mengenai usaha menangani masalah pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah,
Dompok berkata pihaknya telah dimaklumkan bahawa Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyatakan persetujuannya
untuk mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin parti komponen
Barisan Nasional (BN) Sabah bagi membincangkan perkara tersebut.
Walaupun tarikhnya belum ditetapkan namun melalui perbincangan itu
nanti semua pemimpin parti komponen BN boleh menyuarakan pandangan
mereka dan mengemukakan cadangan penyelesaian, katanya. |