UPKO News

   
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Madius cadangkan pelarian pegang IMM13 dipindah ke SM
Monday, 2 July, 2007 ( Source: New Sabah Times)

TAWAU: Pelarian Perang Filipina yang memegang dokumen IMM13 di negeri ini adalah lebih wajar dipindahkan ke Seme-nanjung Malaysia iaitu dari Perlis ke Johor, jika mereka diberikan status Pen-duduk Tetap (PR) oleh Kerajaan Perse-kutuan.

Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau (gambar) berpendapat, ini kerana walaupun telah lebih 30 tahun berada di negeri ini, mereka dilihat masih tidak dapat menyesuaikan diri atau mempunyai semangat nasionalisme terhadap negara ini.

Perkara itu terjadi katanya kerana golongan pelarian terbabit sering berulang-alik ke negara asal mereka terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah seperti di Sandakan, Tawau dan Semporna, berikutan lokasi negeri ini yang berdekatan dengan Filipina.

“Itulah yang dikhuatirkan oleh rakyat Sabah. Jika mereka diberi status PR, selepas beberapa tahun mereka telah layak untuk memohon menjadi warganegara ini dan mungkin permohonan mereka akan diluluskan.”

“Tetapi persoalannya, jika mereka diterima menjadi warganegara, di manakah pula kesetiaan orang-orang ini? Mungkin sebelah hati mereka di Malaysia, tetapi sebelah lagi di Filipina sebab sering berulang-alik ke sana,” katanya.

Berikutan itu katanya, cadangan supaya ribuan pelarian itu dipindahkan ke Semenan-jung Malaysia adalah supaya mereka dapat dipupuk dengan budaya dan adat resam masyarakat, serta semangat patriotik rakyat di negara ini.

Ini kerana ujarnya, golongan itu tidak lagi akan dapat berulang-alik ke negara asal mereka ekoran lokasi yang jauh dan kos yang tinggi.

Dalam masa yang sama katanya, majikan di negara ini juga tidak lagi perlu untuk mengimport pekerja asing dari luar dan membayar levi atau sebagainya, sebaliknya boleh menawarkan pekerjaan kepada golongan tersebut.

Golongan itu pula jelasnya akan turut mendapat manfaat dengan adanya tawaran pekerjaan, sekaligus akan dapat memulakan hidup baru mereka di negara ini.

“Untuk makluman, saya pernah memberikan cadangan ini kepada rakan-rakan Ahli Parlimen di Semenanjung dan mereka tidak mempunyai halangan. Ini bukan main-main punya cadangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kovensyen UPKO di Auditorium Perpustakaan Tawau, Sabtu lepas.

Namun yang demikian, semasa ditemui Madius turut berpendapat yang beberapa dasar muktamad perlu terlebih dahulu diputuskan oleh kerajaan sebelum sebarang keputusan tentang status pemberian PR kepada pelarian perang Filipina diambil.

Dasar muktamad itu katanya ialah pertama, tentang jumlah sebenar pelarian perang di negeri ini berikutan beliau sering mendapat maklumat yang berbeza-beza dan kedua, kedudukan sebenar pelarian perang berkenaan.

Tanpa adanya dasar muktamad itu, pegawai-pegawai kerajaan ujarnya, sukar membuat keputusan tentang pelbagai masalah seperti yang berhubung kait dengan pelarian perang berkenaan seperti masalah ‘street children’, perumahan setinggan dan sebagainya.

Berikutan itu katanya, di Dewan Rakyat minggu lalu, beliau telah pun menghantar satu notis kepada Speaker Dewan agar satu perbahasan dibenarkan bagi membincangkan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Notis itu katanya, dibuat di bawah Peraturan 18 (1) iaitu untuk menangguhkan Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara-perkara tertentu yang melibatkan kepentingan umum yang perlu disegerakan.

Jika dibenarkan katanya, satu perbahasan akan dibuat pada minggu ini, untuk menjernihkan isu kenyataan Nazri yang telah mendatangkan kekeliruan kepada rakyat dan pemimpin di negeri Sabah tentang pemberian status PR kepada pemegang IMM13.

Di Dewan Rakyat minggu lalu, Nazri yang menjawab soalan Madius dilaporkan berkata, bagi tempoh jangka masa panjang kerajaan bercadang memberi status PR kepada pe-megang IMM13 yang merupakan pelarian perang Filipina di negeri ini.

Kenyataannya itu telah menjadi isu hangat di media-media massa apabila Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman sendiri memberitahu yang Kerajaan Negeri tidak pernah dibawa berbincang mengenai perkara itu.

 

 

 

 

 

:::  HOME :::  TOP ::: PRINT :::

 

 
 
 
 
 
 

 


 

 

 

 

Copyright © 2000-2007. UPKO Online All rights reserved