BERITA UPKO

 

Dompok Gesa Penduduk Usahakan Tanah NCR Untuk Tingkatkan Ekonomi
June 15, 2008 (Source: Kenyataan Akhbar)


PENAMPANG: YB Tan Sri Bernard Giluk Dompok menggesa penduduk, khususnya di luar bandar untuk mengusahakan kawasan tanah anak negeri (NT) dan tanah adat (NCR) untuk meningkatkan ekonomi mereka.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa masyarakat anak negeri di Sabah bertuah kerana memiliki tanah NT dan NCR yang luas serta sesuai untuk kegiatan pertanian.

“Kita tidak harus membiarkan tanah-tanah ini kosong. Aktiviti pertanian merupakan bukti kita mempunyai hak pemilikan ke atas kawasan tanah tersebut,” kata beliau di sini hari ini.

“Kenaikan harga keperluan utama seperti beras memerlukan kita meningkatkan lagi hasil pengeluaran beras tempatan untuk menampung permintaan. Penduduk perlu mengambil peluang ini untuk memaksimakan penggunaan tanah bagi tujuan pertanian,” kata beliau.

“Harga getah sekarang mencecah RM7.55 sen bagi susu getah dan RM5.20 sen bagi kepingan. Jadi, penanaman getah ini juga boleh meningkatkan lagi pendapatan,” tambah beliau ketika ditanya oleh wartawan mengenai ucapan beliau semasa merasmikan majlis penyerahan bibit getah kepada penduduk Kg. Dudar, Kota Belud di sini pada Khamis lalu.

Beliau memuji usaha penduduk kampung yang mengambil inisiatif untuk melaksanakan penanaman getah secara berkelompok yang melibatkan sebanyak 39 orang peserta serta meliputi keluasan sebanyak 127 ekar.

Beliau turut memuji usaha bersama Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Kota Belud dan Persatuan Tobilung Sabah (TOBISA) kerana mengambil inisiatif untuk membantu penduduk kampung ini.

“Peranan TOBISA yang bukan sahaja meliputi pembangunan kebudayaan, tapi meningkatkan kesedaran serta menganjurkan aktiviti-aktiviti ekonomi di kalangan ahli merupakan sesuatu yang sangat terpuji. Saya yakin usaha ini akan dapat dicontohi oleh persatuan-persatuan NGO yang lain,” kata beliau.

Presiden TOBISA, Encik Muji Ampau dalam ucapannya berkata bahawa dKota Belud merupakan antara daerah yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah sambil menegaskan bahawa penanaman getah boleh membawa keluar penduduk daripada garis kemiskinan tegar.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Dompok, Encik Frederick Mosoom, Pengawai Penguasa Daerah LIGS Kota Belud, Encik Mondin Gimbun, KAN Abar Gumpai dan WKAN Rimin Rangkata. Tamat


PELABURAN POKOK … Dompok menyerahkan bibit getah kepada salah seorang peserta sambil diperhatikan oleh Muji (tengah) dan pemimpin masyarakat tempatan.


SEPADU … Dompok bersama-sama dengan peserta penanaman getah berkelompok di Kota Belud

 


 

< BACK

 

:::  HOME :::  TOP ::: PRINT :::

Copyright 2007-2008. WWW.UPKO.ORG.MY. All Rights Reserved.