Serangan Ke Atas Rumah Ibadat Kristian
KENYATAAN MEDIA
TAN SRI BERNARD GILUK DOMPOK
PRESIDEN UPKO / MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN
DAN KOMODITI / AHLI PARLIMEN P.174 PENAMPANG
08 JANUARY 2010
Saya telah menerima banyak aduan daripada orang
ramai di seluruh negara mengenai rasa kecewa
mereka terhadap insiden serangan ke atas
beberapa rumah ibadat Kristian seperti gereja
Metro Tabernacle Assembly of God di Ampang dan
gereja Katolik – Church of Assumption di Jalan
Templer, Kuala Lumpur.
Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab ini
hanya mengeruhkan lagi hubungan antara kaum di
negara ini. Saya mengutuk serangan dan tindakan
melampaui batas seperti ini. Mungkin inilah
masanya kita lebih banyak merenungkan, dan
seperti kata Malaysian Consultative Council of
Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and
Taoism (MCCBCHST), kita perlu berdoa.
Kepada sesiapa yang berhasrat bertindak balas
melalui protes, demonstrasi dan sebagainya, saya
mengesyorkan agar kita bersikap tenang dan
sama-sama menjaga keamanan negara kita.
Saya menerima laporan mengenai hasrat masyarakat
Kristian di kawasan Parlimen saya di Penampang
yang mahu mengadakan demonstrasi mengutuk
serangan ke atas rumah-rumah ibadat Kristian.
Namun saya telah menasihati mereka supaya tidak
meneruskan hasrat tersebut kerana isu ini boleh
diselesaikan dengan lebih baik tanpa perlu
berbuat demikian.
Rayuan telah difailkan oleh pihak berkenaan di
Mahkamah Rayuan untuk mengenepikan keputusan
Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang
membenarkan Herald – Catholic Weekly menggunakan
istilah Allah dalam penerbitan Bahasa Kebangsaan.
Saya sekali lagi ingin menegaskan supaya semua
pihak menghormati perlembagaan, undang-undang
dan sistem kehakiman negara kita. Oleh kerana,
Mahkamah Rayuan akan mendengar kes ini, maka
adalah baik untuk semua pihak menunggu sehingga
keputusan dibuat.
Saya berharap pihak polis akan bersikap adil,
memainkan peranan dan menjalankan tugas dengan
cekap bagi memastikan keamanan dan keselamatan
setiap warganegara terjamin.