Isu Istillah Allah
KENYATAAN MEDIA
TAN SRI BERNARD GILUK DOMPOK
PRESIDEN UPKO / MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN
DAN KOMODITI / AHLI PARLIMEN P.174 PENAMPANG
05 JANUARY 2010
Keputusan
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lian pada
31 Disember 2009 bahawa penerbitan Herald
Catholic boleh terus menggunakan istilah Allah
dalam penerbitan edisi Bahasa Malaysia telah
mencetuskan pelbagai reaksi daripada beberapa
pihak di seluruh negara.
Sesetengah daripada komen dan reaksi tersebut
tidak membantu ke arah usaha pengukuhan
perpaduan dan hubungan antara kaum di negara ini.
Sejurus selepas perkara ini dibawa ke mahkamah,
saya telah menggesa semua pihak supaya
menghormati dan memberikan sepenuhnya kebebasan
kepada mahkamah untuk menjalankan
tanggungjawabnya.
Saya percaya bahawa Hakim Datuk Lau Bee Lian
telah melihat segala aspek sejarah dan hak
perlembagaan sebelum membuat keputusan tersebut.
Dari aspek sejarah, istilah Allah telah
digunakan sejak sekian lama, yakni sebelum
rakyat Sabah memutuskan untuk menubuhkan
Malaysia bersama-sama dengan Tanah Melayu,
Singapura dan Sarawak pada tahun 1963.
Masyarakat Sabah telah menggunakan Bahasa Melayu
sesuai dengan statusnya sebagai lingua franca di
rantau ini. Agama Kristian mulai bertapak di
Sabah sejak tahun 1881 dan terus berkembang
selepas itu.
Bagi masyarakat Bumiputera Kristian di Sabah
seperti Kadazandusun dan Murut, upacara ibadat
diadakan dalam tiga bahasa, iaitu English,
Melayu dan bahasa ibunda mereka. Dalam upacara
ibadat di mana English digunakan, istilah yang
digunakan ialah God. Manakala upacara ibadat
dalam bahasa Melayu menggunakan istilah Allah
dan upacara ibadat dalam bahasa ibunda, misalnya
dalam bahasa Kadazandusun menggunakan istilah ‘Kinoingan’.
Kebanyakan gereja di kawasan bandar menggunakan
English, manakala bahasa Melayu dan bahasa
ibunda digunakan dengan meluas di gereja-gereja
di kawasan luar bandar di Sabah.
Pengiktirafan bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan dan bahasa perantara dalam sistem
pendidikan negara telah memperluaskan lagi
pengaruh bahasa ini di kalangan masyarakat Sabah.
Generasi yang lahir selepas dasar ini dibuat
lebih selesa menggunakan bahasa Melayu. Mereka
juga lebih selesa menghadiri upacara-upacara
ibadat yang diadakan dalam Bahasa Kebangsaan ini.
Generasi muda masyarakat Bumiputera Kristian
dari Sabah yang berhijrah ke Semenanjung samada
untuk bekerja atau melanjutkan pelajaran turut
meminta pihak gereja di sini supaya upacara
ibadat dalam bahasa Melayu turut diadakan kerana
mereka sudah serasi dengan penggunaan bahasa ini.
Upko merasakan bahawa setiap anggota masyarakat
diberikan kebebasan untuk terus menunaikan
ibadat keagamaan mereka dalam keadaan yang
tenang serta dapat menggunakan bahasa serta
istilah-istilah yang mereka berasa selesa untuk
menggunakannya sepanjang upacara ibadat tersebut.