SUMBANGAN-SUMBANGAN UPKO
UNTUK MASYARAKAT KADAZANDUSUN MURUT DAN SUKU
BANGSA PASOKMOMOGUN
Sesuai dengan matlamat
penubuhannya iaitu memperjuangkan hak-hak dan
kepentingan serta menjadi saluran aspirasi
masyarakat KDM dan suku bangsa Pasokmomogun yang
lain, UPKO telah mengambil pelbagai inisiatif
untuk memastikan bangsa ini berada di dalam
landasan pembangunan yang betul sejak tahun
1994. Sumbangan parti UPKO ialah:-
Penubuhan Institut Kemajuan
Ekonomi Anak Negeri Sabah (INDEP)
INDEP ditubuhkan pada tahun
1994 sebagai sebuah organisasi penyelidikan
profesional hasil cetusan idea Tan Sri Bernard
Dompok dan mendiang Datuk Dr. James Ongkili.
INDEP bertitik tolak daripada keinginan
masyarakat kaum Kadazandusun untuk turut serta
dalam resolusi-resolusi pembangunan, khususnya
yang melibatkan kepentingan kaum KDM dan
suku-suku bangsa Pasokmomogun yang lain.
Matlamat-matlamat penubuhan INDEP ialah
menggalak dan menambahkan kepakaran serta
pembuatan keputusan yang terselidik di kalangan
individu anak negeri dan organisasi-organisasi
yang ditubuhkan oleh masyarakat anak negeri
serta membantu dalam penyertaan anak negeri ke
dalam proses pembangunan negara bangsa.
Pemimpin UPKO memperakui
bahawa isu-isu pembangunan yang melibatkan kaum
KDM sangat mudah difahami dan ianya memang sudah
didokumentasikan dengan cukup baik, khususnya
mengenai kemiskinan di luar bandar dan
penyertaan kaum KDM dalam bidang perdagangan dan
perindustrian. Walaupun dasar-dasar dan
rancangan-rancangan kerajaan telah menyediakan
program untuk menangani kedua-dua isu tersebut,
namun ia dilihat tidak mencapai kumpulan sasaran
yang sebenarnya. Maka, INDEP ditubuhkan sebagai
sebuah institusi pemikir atau think-tank
yang menyediakan hasil-hasil penyelidikan supaya
pemimpin UPKO boleh memberikan respon kepada
dasar-dasar kerajaan tersebut.
Sehingga kini, INDEP telah
melaksanakan beberapa projek penyelidikan yang
menyentuh mengenai isu-isu KDM dan masyarakat
anak negeri Sabah yang lain.
Penubuhan Dewan Perniagaan
dan Perindustrian Kadazandusun (KKCI)
Penubuhan KCCI merupakan satu
kejayaan yang menonjol oleh UPKO dalam usaha
untuk membawa perubahan pembangunan ekonomi
masyarakat kaum KDM. KCCI ditubuhkan pada tahun
15 Februari 1996 yang bertujuan antara lainnya
untuk menyatupadukan para peniaga dan tenaga
mahir KDM untuk kepentingan dan kemudahan
masyarakat ini, menjadikan organisasi perniagaan
dalam sektor komersil dan industri serta
bekerjasama dengan dewan-dewan perniagaan lain
yang mempunyai objektif sama.
Penubuhan KCCI bertitik tolak
daripada kesedaran pemimpin UPKO mengenai
pewujudan Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang telah
mendominasi pemikiran kerajaan dalam penyediaan
semua rancangan Malaysia bermula daripada
Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) sehingga
Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000). Malah
MPPB merupakan satu isu yang terus diberi
perhatian serius dalam Rancangan Malaysia
Kesembilan (2006-2010). Pelan sebenar
penjuruteraan sosial guna meningkatkan
penyertaan Bumiputera dalam perdagangan dan
industri bermula daripada Rancangan Malaysia
Kedua (1971-1976) apabila Kerajaan Barisan
Nasional pada ketika itu memperkenalkan Dasar
Ekonomi Baru (DEB). Antara lain matlamat dasar
ini adalah meningkatkan ekuiti pemilikan
korporat di kalangan Bumiputera kepada 30
peratus menjelang tahun 1990.
Orang-orang Melayu di
Semenanjung Malaysia telah mengorak langkah yang
sungguh terpuji ke arah mencapai pembangunan
usahawan maju kaum itu sejak 30 tahun lepas.
Sudah tentulah mereka mencapai kejayaan tersebut
di bawah bimbingan institusi politik yang kuat
dan mengkhusus kepada perjuangan kepentingan
Melayu, iaitu UMNO dan BN. Dalam tempoh empat
dekad sehingga kini, mereka masih menimati
senario yang begitu selesa dalam soal
keusahawanan, contohnya melalui penganugerahan
projek-projek kerajaan dan penyertaan wajib
dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
UPKO sebagai satu parti yang
berkepentingan KDM telah mengambil langkah untuk
menubuhkan KCCI sebagai wadah untuk
menyatupadukan golongan usahawan kaum ini dan
juga menyediakan saluran kepada mereka untuk
memperkembangkan rangkaian perniagaan. UPKO
melihat mekanisme institusional KCCI yang
efektif
sebagai sangat penting
terutamanya dalam memberikan respon secara
berkesan kepada dasar-dasar kerajaan seperti DEB
dan Rancangan-Rancangan Malaysia. Inilah salah
satu keutamaan yang diberi perhatian serius oleh
pemimpin UPKO supaya kaum KDM juga berupaya
membentuk komuniti perdagangan dan perindustrian
menjelang tahun 2020.
Pengiktirafan Kerajaan BN
terhadap KCCI merupakan satu titik sejarah dalam
proses pembentukan Komuniti Perdagangan dan
Perindustrian KDM. Sejak penubuhannya, KCCI
telah diberikan beberapa projek seperti
pembinaan 5,000 unit rumah kos rendah di seluruh
Sabah, pengurusan kawasan pembalakan di bawah
program Forest Management Unit (FMU),
pembinaan sekolah dan beberapa buah projek lain.
KCCI juga menganjurkan pelbagai seminar dan
kongres ekonomi, termasuklah dengan kerjasama
dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak
(DCCI). KCCI juga mewujudkan satu direktori khas
usahawan-usahawan KDM dalm bentuk buku dengan
harapan ianya dapat menjadi sumber maklumat
untuk meningkatkan rangkaian perhubungan di
kalangan mereka sendiri. Tidak syak lagi
kejayaan ini akan memangkinkan lagi pencapaian
masyarakat kaum KDM supaya lebih maju dalam
bidang ekonomi. Kejayaan penubuhan KCCI ini
didukung oleh ideologi UPKO yang ketiga, iaitu
berjuang untuk membawa suku bangsa kita ke tahap
pembangunan dan kemajuan sehinggalah mencapai
status "suku bangsa maju".
Penubuhan Yayasan Bahasa
Kadazandusun (KLF)
Menyedari hakikat bahawa kurangnya penyelidikan
dan usaha untuk mempertahankan bahasa
Kadazandusun, pemimpin UPKO khususnya melalui
Tan Sri Bernard telah memulakan satu pusat
penyelidikan yang dinamakan Pusat Bahasa Kadazan
(KLC) pada tahun 1994. Usaha-usaha yang
dilakukan termasuklan meminta kerajaan supaya
memasukkan Bahasa Kadazandusun sebagai satu
kurikulum di sekolah kebangsaan. Pada bulan
Disember 1994, satu mesyuarat di kalangan
ahli-ahli penaja telah dibuat untuk
membincangkan kemungkinan menubuhkan Yayasan
Bahasa Kadazandusun (KLF). Pada 20 Jun 1995, KLF
telah didaftarkan secara rasmi. Matlamat
penubuhan KLF adalah untuk memelihara,
mempromosi dan membangunkan bahasa Kadazandusun
serta bahasa-bahasa suku kaum Pasokmomogun yang
lain. Selain itu, KLF juga bertindak sebagai
fasilitator untuk penubuhan Pusat Bahasa Murut
dan Pusat Bahasa Rungus.
Sejak
penubuhannya, KLF telah memainkan peranan
penting dalam menggerakkan usaha-usaha
penggalakan kebertanggungjawaban terhadap
pembangunan bahasa Kadazandusun di kalangan ahli
masyarakatnya. Falsafah KLF menyatakan bahawa
penyertaan daripada kalangan ahli masyarakat
terhadap usaha-usaha yang dibuat merupakan kayu
ukuran terhadap kelangsungan atau survival
bahasa Kadazandusun. Sebagai sebuah organisasi
koordinator, KLF telah melaksanakan pelbagai
program yang antara lainnya ialah memberikan
pengetahuan asas mengenai linguistik
Kadazandusun, menyediakan perkhidmatan sokongan
teknikal, nasihat dan konsultasi, sokongan
pembiayaan, penerbitan hasil-hasil literasi
tempatan, perkhidmatan alih bahasa serta
penganjuran pelbagai bengkel dan seminar.
Penubuhan KLF ini merupakan
salah satu usaha UPKO untuk memartabatkan bangsa
KDM. Kejayaan ini didasari oleh ideologi UPKO
yang kedua, iaitu berjuang untuk membangun dan
mempromosikan kebudayaan, bahasa, sistem
nilai-nilai murni, kepercayaan dan agama
masing-masing. Tanpa syak lagi, usaha tulen ini
memberi jaminan bahawa rumpun bahasa
Kadazandusun tidak akan hilang di dunia selagi
UPKO terus kekal!
Bahasa Kadazandusun Sebagai
Kurikulum Di Sekolah-Sekolah Kebangsaan
Simposium bahasa Kadazandusun
yang dianjurkan oleh KDCA pada tahun 1989 antara
lainnya mencadangkan supaya bahasa ini dijadikan
sebagai satu kurikulum di sekolah kebangsaan.
Semasa Tan Sri Bernard menjadi Menteri Kewangan
Sabah dalam Kerajaan PBS, beliau juga pernah
memanjangkan permintaan yang sama. Namun,
sentimen kerajaan negeri-persekutuan yang kurang
baik pada ketika itu menggagalkan usaha tersebut.
Usaha ini kemudiannya diteruskan oleh Tan Sri
Bernard pada tahun 1994, iaitu sebaik sahaja PDS
ditubuhkan dan diterima masuk sebagai sebagai
sebuah parti komponen Barisan Nasional. Hasilnya,
bahasa Kadazandusun telah diperkenalkan sebagai
satu kurikulum sekolah kebangsaan pada bulan
April 1995. Pelbagai kajian kemudiannya
dilaksanakan untuk menetapkan mekanisme dan
kandungan pengajaran kurikulum ini.
Bermula pada bulan Februari
1997, bahasa Kadazandusun mulai diajar sebagai
salah satu kurikulum di sekolah-sekolah
kebangsaan. Ini merupakan satu lagi detik yang
paling bersejarah bagi masyarakat
kaum KDM kerana buat kali
pertama dalam sejarah pendidikan negara, bahasa
ibunda ini diajar di sekolah-sekolah kerajaan di
Sabah. Dengan kata lain, hasil usaha keras
pemimpin UPKO telah menjadikan bahasa ibunda ini
setaraf dengan bahasa-bahasa seperti Mandarin,
Tamil dan Iban yang turut sama dijadikan sebagai
salah satu kurikulum di sekolah kebangsaan.
Sehingga tahun 2000, kurkikulum ini diajar di 21
daerah seluruh Sabah melibatkan 440 buah sekolah
rendah, 881 orang guru terlatih dan 19,731 murid.
Kurikulum ini bukan sahaja diikuti oleh
murid-murid dari kalangan kaum KDM, tetapi juga
dari kaum-kaum lain. Pada bulan Mac 2007, Tan
Sri Bernard Dompok mengumumkan bahawa kurikulum
bahasa Kadazandusun akan dijadikan sebagai salah
satu mata pelajaran di dalam peperiksaan PMR
bermula pada tahun 2009.
Kejayaan ini ditunjangi oleh
ideologi pertama UPKO, iaitu berjuang untuk
mempertingkatkan identiti, membela maruah dan
mempertingkat martabat suku bangsa kita.
Sesungguhnya, pemimpin-pemimpin UPKO begitu
ikhlas dan serius dalam menegakkan identiti
serta martabat bangsa. Usaha murni ini sudah
tentulah memberi satu jaminan bahawa bahasa
Kadazandusun tidak akan hilang di dunia.
Penubuhan Persatuan Pendidik
Kadazandusun (PEKADUS)
Selepas KLF ditubuhkan untuk
mengkoordinasikan pembangunan bahasa
Kadazandusun, kemudian pengenalan kurikulum
Bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah kerajaan,
UPKO juga menyedari bahawa kebajikan guru-guru
yang terlibat dalam kurikulum ini juga mesti
dijaga. Soal-soal seperti elaun mengajar
merupakan satu isu yang disampaikan oleh
pemimpin UPKO kepada pihak kerajaan. Pada tahun
1998, UPKO menggalakkan supaya satu organisasi
di kalangan guru-guru yang terlibat diwujudkan
supaya kebajikan mereka ini boleh dibincangkan
secara lebih sistematik dan terselidik.
PEKADUS
ditubuhkan dengan rasminya pada 20 Februari 1998
yang bertujuan untuk mewujudkan jaringan antara
pendidik KDM, meningkatkan kesedaran ibubapa ke
arah peningkatan prestasi pencapaian pelajar KDM,
bekerjasama dengan organisasi lain yang
mempunyai objektif sama terhadap kecemerlangan
pendidikan dan menjadi saluran untuk
mengutarakan hal-hal yang berkaitan dengan
kemajuan pendidikan selaras dengan Dasar
Pendidikan Kebangsaan. Selain daripada soal-soal
kebajikan pendidik, PEKADUS juga mengadakan
beberapa siri motivasi kecemerlangan di kalangan
pelajar.
Dalam
konteks perjuangan UPKO, penubuhan PEKADUS
merupakan satu lagi pencapaian ke arah
menginstitunalisasikan masyarakat KDM. UPKO
percaya bahawa penubuhan organisasi yang
mempunyai matlamat khusus sangat penting kerana
ia boleh memberi sumbangan terhadap proses
pembangunan negara bangsa.
Kerusi Pengajian Bahasa
Kadazandusun di Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Hubungan baik di antara
pemimpin UPKO dengan pemimpin BN yang lain,
khususnya dalam Kabinet Persekutuan merupakan
satu usaha murni yang dipupuk sejak penubuhannya
pada tahun 1994. UPKO percaya bahawa hubungan
baik dan kesetiaan kepada teras perjuangan BN
merupakan asas kepada beberapa kejayaan parti.
Semasa Tan Sri Bernard menjadi Ketua Menteri
Sabah pada tahun 1998, beliau telah meminta
kepada Kerajaan Persekutuan supaya satu kerusi
pengajian Bahasa Kadazandusun diwujudkan di
Universiti Malaysia Sabah. Permintaan ini telah
disampaikan kepada Dato’ Seri Najib Tun Abdul
Razak, Menteri Pendidikan ketika itu yang
kemudiannya mengumumkan bahawa kerusi pengajian
tersebut akan diwujudkan pada tahun 1999. Malah,
kerajaan juga telah memberikan geran sebanyak RM
2 juta kepada kerusi tersebut. Pencapaian ini
merupakan satu lagi kejayaan terbesar UPKO dalam
memartabatkan bangsa KDM.
Pengiktirafan Perayaan Tadau
Kaamatan Sebagai Perayaan Kebangsaan
UPKO merupakan satu-satunya
parti politik Malaysia yang mengadakan sambutan
rumah terbuka sempena perayaan Pesta Menuai atau
"Tadau Kaamatan". Setiap tahun, rumah terbuka
Tadau Kaamatan UPKO akan dihadiri oleh ribuan
penduduk Malaysia, termasuklah dari kalangan
pemimpin-pemimpin politik dari kaum lain.
Sebagai parti tunggal berasaskan KDM dalam BN,
UPKO percaya bahawa perayaan ini mesti diberi
penghormatan yang besar di peringkat parti, sama
seperti UMNO menganjurkan rumah terbuka Hari
Raya Puasa, MCA sempena Tahun Baru Cina dan MIC
sempena Hari Deepavali.
Pada tahun 2001, Kerajaan
Persekutuan telah merangka satu kalendar tahunan
yang antara lainnya memuatkan perayaan-perayaan
utama setiap kaum. UPKO telah meminta supaya
Tadau Kaamatan dijadikan
sebagai salah satu perayaan
kebangsaan. Hasilnya, perayaan ini menjadi salah
satu daripada enam perayaan utama nasional
selain daripada Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina,
Deepavali, Krismas dan Gawai Dayak. Buat pertama
kalinya dalam sejarah sejak Tadau Kaamatan
dijadikan acara rasmi Kerajaan Negeri Sabah,
perayaan ini telah dianjurkan di Kuala Lumpur
dan mendapat sokongan penuh Kerajaan Persekutuan
hasil usaha murni yang dilakukan oleh para
pemimpin UPKO.
Selain itu, UPKO juga telah
mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya
tanggal 31 Mei dijadikan sebagai cuti umum
persekutuan bagi membolehkan rakyat Malaysia
yang merayakan Tadau Kaamatan dan Gawai agar
perasaan cintakan negara dapat diraikan
sepertimana ketika negara berehat seketika untuk
menyambut Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina dan
Deepavali. Cadangan ini dibuat di atas nama
integrasi memandangkan terdapat ribuan orang
Kadazandusun bekerja di Semenanjung Malaysia.
Penginstitunalisasian Sistem
Sosial KDM
Selain
daripada kejayaan-kejayaan seperti di atas, UPKO
juga mempelopori banyak kejayaan yang lain.
Antaranya penubuhan Persatuan Peneroka-Peneroka
Bandar Anak Negeri Sabah (SURIA) yang
memperjuangkan hak penduduk KDM di Kg. Matabian,
Kota Kinabalu. Penubuhan organisasi seperti
Huminodun Foundation pula bertanggungjawab
kepada pembangunan kemahiran dan pengetahuan
dalam pelbagai aspek di kalangan golongan wanita
kaum Kadazandusun. Persatuan Graduan
Pasokmomogun (PGA) ditubuhkan untuk menyediakan
saluran kepada para graduan Kadazandusun supaya
dapat menyumbang ke arah pewujudan satu bangsa
yang progresif, inovatif, pro-aktif, bermotivasi,
berdaya saing dan dinamik. Federation of Rumpun
Momogun Organisation (FORUM) pula ditubuhkan
untuk menginstitunalisasikan pertubuhan dan
persatuan yang berkepentingan Kadazandusun dalam
satu bumbung yang sama. Momogun Society of
Malaysia pula ditubuhkan untuk memberikan
khidmat kebajikan serta jaringan komunikasi di
kalangan orang-orang yang bekerja atau belajar
di Semenanjung Malaysia. Di peringkat parti,
Pergerakan Komulakan telah ditubuhkan untuk
mengkhususkan penyertaan golongan muda yang
berumur di antara 18 hingga 28 tahun dan berjaya
menarik minat ramai golongan graduan muda,
kumpulan profesional, kakitangan kerajaan dan
swasta, golongan belia dan persatuan-persatun
belia di peringkat kampung.
Perhatian Khusus Untuk Kaum Kadazandusun Murut
Di Dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga
(RRJP3), 2001-2010
Sebagai sebuah parti politik
yang berkepentingan kaum KDM, UPKO telah
mengadakan beberapa siri persidangan dan
konvensyen untuk membincangkan pelaksanaan
dasar-dasar ini terutamanya yang mempunyai
hubung-kait dengan kumpulan sasaran ini. Antara
program berkaitan ialah Memorandum RMK9 kepada
Perdana Menteri, Bengkel RMK9, Konvensyen UPKO
dan Roundtable Discussion Bajet 2007.
Parti ini juga telah memberikan sokongan kepada
program anjuran bersama Dewan Perniagaan dan
Perindustrian Kadazandusun (KCCI) dan Dewan
Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI)
seperti Bengkel RRJP3 dan Kongres Ekonomi
Bumiputera Minoriti. Ini menunjukkan pendirian
dan komitmen serius parti ini dalam pelaksanaan
dasar-dasar kerajaan yang dibentangkan di Dewan
Rakyat.
Kedudukan pemilikan ekuiti
korporat di kalangan kaum Bumiputera masih
menjadi isu besar di kalangan golongan pembuat
dasar sejak dari era Dasar Ekonomi Baru (DEB),
1971-1990 dan Dasar Pembangunan Negara (DPN),
1991-2000. Dalam tempoh 30 tahun sebelum RRJP3
diperkenalkan, sasaran pemilikan ekuiti korporat
di kalangan kaum Bumiputera sebanyak 30 peratus
masih belum tercapai. Memang tidak dinafikan
bahawa program-program yang diperkenalkan telah
menampakkan perubahan yang besar kepada
sebahagian besar masyarakat Bumiputera,
khususnya bagi kaum Melayu di Semenanjung
Malaysia. Namun, program ini tidak banyak
dinikmati atau dirasai oleh kaum Bumiputera di
Sabah dan Sarawak. Hakikat ini diperakui dalam
Laporan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua
(MAPEN II) yang menyatakan,
"Walaupun terdapat
kemajuan dalam pelaksanaan DEB dan DPN,
namun masih terdapat beberapa kekurangan,
kekangan dan kelemahan yang perlu diberi
perhatian dalam menggubal pendekatan dan
strategi selepas tahun 2000:-
(c) Bahawa
kedudukan golongan minoriti yang terdiri
daripada kaum tertentu di kalangan
Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli
dan golongan terpinggir lain masih jauh
ketinggalan dalam bidang perdagangan dan
perindustrian, pemilikan ekuiti, guna
tenaga, pendidikan dan dengan itu harus
diberi perhatian yang serius."
(Muka surat: 347-349)
Berdasarkan kepada perakuan
ini, RRJP3 telah digubal yang antara lainnya
mempunyai matlamat untuk membasmi kemiskinan dan
meningkatkan pemilikan ekuiti korporat di
kalangan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Untuk itu, terma baru telah diperkenalkan, iaitu
Bumiputera Minoriti yang digunakan untuk merujuk
kepada suku kaum Kadazandusun, Iban, Bajau,
Murut, Bidayuh dan Melanau. Buat pertama kalinya
dalam sejarah penggubalan dasar-dasar dan
rancangan kerajaan, satu tumpuan khusus telah
dinyatakan akan diberikan kepada kumpulan
sasaran ini. RRJP3 menyatakan,
"Kerajaan akan
menjalankan penyiasatan yang khusus
mengenai pendapatan isi rumah di Sabah
dan Sarawak untuk menentukan kedudukan
kemiskinan, tahap pendapatan dan kualiti
hidup di berbagai tempat serta di
kalangan berbagai kumpulan Bumiputera
seperti Kadazandusun, Iban, Bajau, Murut
dan Bidayuh dan Melanau. Penemuan
penyiasatan akan digunakan untuk
memperbaiki lagi langkah membasmi
kemiskinan dan meningkatkan kualiti
hidup penduduk di Sabah dan Sarawak
terutamanya di kawasan pedalaman dan
terpencil." (Muka surat: 94-95)
"Dalam tempoh RRJP3,
usaha yang gigih akan dijalankan untuk
meningkatkan penyertaan berkesan
Bumiputera serta pemilikan ekuiti
Bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus
menjelang tahun 2010. Penyusunan semula
ini akan dilaksanakan dalam konteks
pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan
peluang lebih banyak untuk smeua rakyat
Malaysia dan tanpa perlu mengambil
langkah penyusunan semula mikro bagi
usaha niaga sedia ada. Perhatian khusus
akan diberi untuk meningkatkan pemilikan
ekuiti di kalangan Bumiputera di Sabah
dan Sarawak seperti Kadazandusun, Iban,
Bajau, Murut, Bidayuh dan Melanau."
(Muka surat: 97-98).
Perakuan-perakuan dalam dasar dan rancangan
Kerajaan ini membuktikan bahawa isu yang telah
lama menghantui masyarakat Bumiputera Minoriti,
khususnya suku kaum KDM sebenarnya mendapat
perhatian daripada pihak Kerajaan Persekutuan.
Ini merupakan sebahagian pencapaian UPKO yang
sangat penting terutamanya kerana mempunyai
wakil Kabinet Persekutuan yang berfikiran
intelek dan berani iaitu Tan Sri Bernard Dompok.
Penubuhan Unit Khas Bagi Bumiputera Bukan Melayu
Di Jabatan Perdana Menteri
Sebagai parti yang sentiasa
mengemukakan idea-idea bersifat progresif, UPKO
menerima baik dasar-dasar pemandu da;am sosial
ini seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar
Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara,
Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3)
dan yang seumpamanya. UPKO juga sangat
mengalu-alukan jaminan YAB Perdana Menteri
bahawa ketidakseimbangan wilayah akan ditangani
di dalam RMK9. Bagaimanapun, sepertimana
perakuan di dalam MAPEN II, kaum Bumiputera
Minoriti di Sabah dan Sarawak masih lagih jauh
ketinggalan dalam bidang perdagangan dan
perindustrian, pemilikan ekuiti, guna tenaga dan
pendidikan. UPKO sentiasa mengemukakan pendirian
dan permintaan-permintaan samada di dalam bentuk
memorandum atau penyertaan di dalam
mesyuarat-mesyuarat kabinet. UPKO berpendapat
bahawa pelaksanaan DEB harus memberikan fokus
khusus kepada Bumiputera Bukan Melayu di negara
ini kerana dasar tersebut pastinya tidak akan
mencapai objektif asal sekiranya kepentingan
kaum tersebut tidak ditangani dengan lebih telus.
Maka dengan itu, Tan Sri
Bernard Dompok selaku wakil UPKO di dalam
kabinet Persekutuan sebagai Menteri Di Jabatan
Perdana Menteri telah menyampaikan keprihatinan
dan pendirian UPKO terhadap isu ini. Akhirnya,
YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana
Menteri Malaysia telah bersetuju dengan
permintaan UPKO untuk menubuhkan satu unit khas
melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di
Jabatan Perdana Menteri untuk menangani
penyertaan kaum Bumiputera Bukan Melayu seperti
Kadazandusun Murut di dalam pelaksanaan
dasar-dasar dan program-program kerajaan. Malah
Tan Sri Bernard sendiri merupakan menteri yang
bertanggungjawab secara langsung di dalam
pembentukan unit tersebut.
Penubuhan unit khas ini
merupakan satu lagi kejayaan dan sumbangan UPKO
terhadap masyarakat KDM dan suku bangsa
Pasokmomogun yang lain, termasuklah suku bangsa
Bumiputera Bukan Melayu yang lain. Penubuhan
unit ini juga memberikan harapan baru kepada
status penyertaan kaum-kaum ini di dalam arus
perdana pembangunan negara. Kejayaan ini sejajar
dengan ideologi UPKO yang ketiga iaitu berjuang
untuk membawa suku bangsa kita kepada satu tahap
pembangunan dan kemajuan sehinggalah mencapai
status suku bangsa maju menjelang tahun 2020.
Pendirian Mengenai Isu Pembangunan Wilayah (RDA)
Di Sabah
UPKO sentiasa prihatin dengan
jurang perbezaan pembangunan wilayah yang geitu
ketara di antara kawasan bandar dan luar bandar
serta di antara negeri Sabah dengan Semenanjung
Malaysia. UPKO mengakui bahawa ketidakseimbangan
pembangunan ini memberikan kesan langsung kepada
masyarakat KDM terutamanya kerana banyak
penduduk KDM tinggal di kawasan luar bandar.
Maka dengan itu, UPKO telah mengemukakan
memorandum RMK9 kepada YAB Perdana Menteri yang
mengandungi cadangan-cadangan untuk dimasukkan
penggubalan dasar tersebut.
UPKO telah mengambil
penubuhan Lembaga Kemajuan Wilayah (RDA) di
Semenanjung Malaysia iaitu DARA di Pahang,
KEJORA di Johor, KEDA di Kedah, PERDA di Pulau
Pinang, KESEDAR di Kelantan dan KETENGAH di
Terengganu sebagai perbandingan keberkesanan
pelaksanaan dasar-dasar pembangunan kerajaan.
DARA yang dibubarkan pada 1 November 2000
selepas 30 tahun ditubuhkan telah berjaya
menjumlah-sifarkan keluarga isi rumah termiskin
di dalam kawasan liputannya. Lembaga ini juga
telah membentuk potensi pembangunan baru kerana
ia mewujudkan bandar-bandar baru dan
menstrukturkan semula masyarakat di kawasannya.
Maka dengan itu, UPKO juga
telah mencadangkan supaya RDA juga diwujudkan di
Sabah. Tan Sri Bernard Dompok sebagai Ahli
Parlimen P.179 Ranau dan Menteri Di Jabatan
Perdana Menteri bersama-sama dengan Sentor Tan
Sri Kasitah Gadam telah memulakan inisiatif
pelan pembangunan Ranau sepuluh tahun, 2001 -
2010 yang kemudiannya akan dikenali sebagai
Lembaga Kemajuan Wilayah Ranau. Kementerian
Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar telah
memberikan peruntukan sebanyak RM 1 juta untuk
mengadakan kajian terperinci terhadap isu-isu
dan cadangan-cadangan pembangunan di Ranau.
Akhirnya pada 16 Februari 2005, cadangan RDA
Ranau telah dibentangkan di dalam mesyuarat
Kabinet Persekutuan yang lengkap dengan
ulasan-ulasan positif dan sokongan daripada
semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Kabinet Persekutuan telah bersetuju secara
dasarnya untuk menubuhkan RDA Ranau.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Kerajaan Negeri
telah memberikan pandangan sebaliknya mengenai
cadangan tersebut. Malah ada juga yang
mengadakan mesyuarat-mesyuarat di peringkat
kawasan untuk menyatakan penentangan dengan
alasan ianya akan menghapuskan
hak
autonomi Kerajaan Negeri Sabah terutamanya di
dalam soal-soal tanah, pengurusan sumber-sumber
negeri dan pentadbiran daerah. Kekeliruan ini
berlaku kerana pemimpin-pemimpin tersebut tidak
faham mengenai konsep penubuhan RDA yang hanya
menjadi badan pelaksana dan saluran peruntukan
khusus pembangunan-pembangunan yang diletak di
bawah RDA yang melibatkan anggaran kos
pelaksanaan sebanyak RM 760 juta dalam tempoh
sepuluh tahun tersebut.
Semasa membentangkan RMK9
pada 31 Mac 2006 di Dewan Rakyat, YAB Dato’ Seri
Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia
juga telah mengumumkan antara lainnya bahawa
Lembaga-lembaga Kemajuan Wilayah yang baru akan
diwujudkan di Sabah dan Sarawak. Ini merupakan
satu lagi pencapaian UPKO kerana permintaannya
telah dimasukkan di dalam dasar pembangunan
negara.
Kerajaan Persekutuan juga
telah menubuhkan konsep pembangunan baru yang
dikenali sebagai Koridor Pembangunan Negara
termasuklah di Sabah. UPKO juga telah merakamkan
penghargaan kepada kerajaan kerana keprihatinan
berterusannya terhadap soal pembangunan di
Sabah. Bagaimanapun, Koridore Pembangunan Sabah
merupakan satu inisiatif institusi swasta,
manakala Lembaga Kemajuan Wilayah pula akan
dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
Dengan itu, UPKO telah menyatakan pendiriannya
dan mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri
semasa Konvensyen UPKO 2007 agar Lembaga
Kemajuan Wilayah yang telah dimasukkan di dalam
dasar RMK9 dilaksanakan sebagai pelengkap kepada
Koridor Pembangunan Sabah.
Pendirian Mengenai Isu
Pendatang Asing Di Sabah
UPKO merupakan parti komponen
BN yang paling konsisten di dalam menyuarakan
keprihatinannya terhadap isu pendatang asing di
Sabah yang belum lagi mempunyai penyelesaian
mutlak. Di dalam setiap persidangan Parlimen,
Ahli Parlimen P.170 Tuaran yang juga merupakan
Setiausaha Agung UPKO, YB Datuk Wilfred Madius
Tangau sentiasa membangkitkan isu ini. Beliau
juga dianggap sebagai "pakar" di dalam isu ini
dan telah membuat laporan-laporan polis bagi
pihak parti. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen
yang paling konsisten untuk mencadangkan
penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja
terhadap masalah ini.
Selain
persidangan Parlimen, UPKO telah menggunakan
sepenuhnya
forum-forum yang ada untuk membincangkan isu ini
dan seterusnya mengemukakan resolusi atau
memorandum kepada Kerajaan. Di dalam
mesyuarat-mesyuarat dan konvensyen parti, isu
ini merupakan topik yang sentiasa dibahaskan.
UPKO telah menyatakan pendirian bahawa BN Sabah
perlu mengadakan mesyuarat khas untuk membentuk
master plan atau pelan induk yang
komprehensif untuk menyelesaikan masalah ini.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah telah
menyatakan bahawa tidak ada keperluan untuk
mengadakan mesyuarat tersebut memandangkan
kerajaan telah mengambil beberapa langkah yang
bersesuaian.
Kedudukan Tan Sri Bernard
selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas
Parlimen Mengenai Integriti juga telah mengambil
serius isu kebanjiran pendatang asing di Sabah
terutamanya selepas menerima banyak aduan awam
termasuklah daripada mereka yang mengaku pernah
terlibat di dalam projek pengeluaran dokumen
kenegaraan kepada pendatang asing di Sabah. Tan
Sri Bernard telah meminta supaya jabatan
kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negera
supaya tampil untuk menjelaskan peranan mereka
di dalam isu ini. Walaupun menerima tekanan
politik daripada beberapa rakan kabinet serta
parti komponen BN yang lain, namun UPKO tidak
pernah gentar untuk menyuarakan isu ini.
Pendirian Terhadap Cadangan
Pemindahan Setinggan Haram Sri Tanjung Ke
Kampung Maang
Pada bulan Mac 2006, penduduk
di Kg. Maang telah digemparkan dengan keputusan
Kabinet Negeri Sabah yang ingin memindahkan
setinggan haram Sri Tanjung, Tanjung Aru ke
Kampung Maang, Penampang. Cadangan ini dibuat
untuk memberikan laluan kepada projek pembesaran
Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA). Parti
UPKO sebagai sebuah parti yang prihatin terhadap
keperluan rakyat telah membantah sepenuhnya
cadangan tersebut. Tan Sri Bernard Dompok, Datuk
Wilfred Bumburing, Philip Lasimbang, Donald
Mojuntin dan Fred Mosoom telah menyuarakan
penentangan terbuka terhadap cadangan tersebut.
Penentangan UPKO ini berasaskan kepada keraguan
mengenai status kerakyatan penghuni-penghuni
setinggan Sri Tanjung yang dipercayai mempunyai
dokumen seperti MyKad melalui pintu belakang.
Walaupun Kerajaan Negeri berulang kali
menegaskan bahawa majoriti penghuninya merupakan
warganegara tulen, namun UPKO masih
berasa
sangsi. Kerajaan Negeri akhirnya menubuhkan satu
Jawatankuasa Penapis bagi memastikan ketulenan
penduduk setinggan haram. Akhirnya, ia mendapati
bahawa hanya 200 lebih sahaja penduduk tulen
daripada lebih 2,000 orang yang menghuni Sri
Tanjung. Ini telah membuktikan keraguan UPKO
mengenai status sebenar mereka.
Pendirian UPKO juga
berlandaskan kepada kesan-kesan terhadap
cadangan tersebut iaitu perubahan landskap
politik, sosial dan sistem masyarakat di
Penampang apabila satu pemindahan besar yang
melibatkan orang asing dilakukan. Kedua-dua
wakil rakyat yang mewakili Kampung Maang iaitu
YB Philip Lasimbang dan YB Donald Mojuntin turut
menyatakan bahawa cadangan tesebut tidak pernah
dibincangkan di dalam Jawatankuasa Penggunaan
Tanah Daerah (LUC) yang memberikan gambaran
jelas betapa ianya bertentangan dengan polisi
dan prosedur perundangan kerajaan sendiri.
Selain itu, Datuk Madius Tangau turut
mengemukakan isu terseut di Parlimen dengan
menyatakan bahawa projek pembesaran KKIA dibuat
secara tergesa-gesa dan telah dimulakan walaupun
Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) belum
dibuat.
UPKO telah menyokong
jawatankuasa ad-hoc badan bertindak khas yang
dipengerusikan oleh Fred Mosoom yang mengadakan
kaji selidik mengenai penerimaan masyarakat di
kawasan sekitar Penampang terhadap cadangan
tersebut. Jawatankuasa ini telah mengadakan
referendum dan berjaya mendapatkan lebih 5,000
tandatangan penduduk Penampang yang membantah
cadangan termasuk. Jawatankuasa ini juga telah
mengadakan perhimpunan aman untuk mengemukakan
bantahan kepada kerajaan. Tan Sri Bernard
sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap
Biro Aduan Awam Persekutuan telah memainkan
peranan penting di dalam memanjangkan bantahan
tersebut kepada YAB Perdana Menteri.
Peranan UPKO di dalam
isu ini telah menerima kecaman pemimpin-pemimpin
parti UMNO Sabah termasuklah gesaan untuk keluar
daripada gabungan BN. Ada juga yang melabelkan
UPKO sebagai parti pembangkang di dalam BN.
Walaupun menerima tekanan politik sedemikian,
namun UPKO tidak pernah berasa gentar,
sebaliknya terus memperjuangkan aspirasi dan
kepentingan masyarakat yang diwakilinya.
Akhirnya, cadangan tersebut tidak diteruskan.
Ini membuktikan bahawa masyarakat KDM tidak
memerlukan parti pembangkang kerana UPKO mampu
mewakili mereka.
Pendirian Mengenai Isu Hari Kemerdekaan Malaysia
Selain isu-isu pembangunan,
ekonomi dan sosial, UPKO juga prihatin terhadap
sejarah sebenar kemerdekaan negara. Sebagai
parti yang memainkan peranan signifikan di dalam
penubuhan Malaysia, termasuklah mempengerusikan
mesyuarat-mesyuarat IGC dan mengumumkan
perisytiharan kemerdekaan Sabah dan penubuhan
Malaysia, UPKO sentiasa mengambil pendirian
tegas untuk memastikan catatan peristiwa yang
sebenar dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia.
UPKO mengakui bahawa
kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957
merupakan asas kepada pembentukan gagasan
Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul
Rahman pada tahun 1961. Malah, kemerdekaan Sabah
juga diumumkan pada 31 Ogos 1963. Bagaimanapun,
tarikh ini tidak boleh diterima sebagai hari
ulang-tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-50 (pada
tahun 2007) kerana negara Malaysia tidak wujud
sebelum tahun 1963. UPKO telah mencadangkan
supaya "Hari Kemerdekaan Malaysia" ditukar
kepada "Hari Kebangsaan Malaysia".
Pendirian Mengenai Isu Sijil
Anak Negeri
Isu sijil anak negeri telah
membelenggu sebahagian besar masayarakat Anak
Negeri Sabah terutamanya daripada keturunan
Peranakan atau Sino. Sijil perakuan Bumiputera
ini telah dibekukan oleh Kerajaan BERJAYA pada
tahun 1982 ekoran daripada penyalahgunaan kuasa
dan pemberian dokumen tersebut kepada golongan
yang salah. Ini telah menyebabkan masyarakat
Peranakan atau Sino kehilangan hak sebagai
Bumiputera termasuklah kelayakan untuk melabur
di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan
memiliki Tanah Anak Negeri (NT).
UPKO
memandang serius isu ini kerana ia melibatkan
hak dan kepentingan kumpulan masyarakat yang
besar. UPKO menyatakan pendirian bahawa
masyarakat Peranakan atau Sino merupakan suku
kaum Anak Negeri Sabah seperti dalam takrifan
Ordinan Interpretasi (Definisi Anak Negeri)
Sabah 1952 sekaligus melayakkan ia menikmati
hak-hak sebagai Bumiputera. UPKO juga
berpendapat bahawa hak dan kepentingan
masyarakat ini telah diberikan jaminan semasa
perundingan penubuhan Persekutuan Malaysia
kerana ianya merupakan sebahagian daripada suku
bangsa Anak Negeri Sabah.
Pendirian Mengenai Status Negara
Sebagai sebuah parti politik
yang prihatin dengan catatan sejarah
perkembangan negara, UPKO sentiasa prihatin
terhadap perkembangan-perkembangan yang
melibatkan pandangan banyak pihak bahawa jenis
pemerintahan negara merupakan sebuah negara
Islam. Pandangan ini telah membimbangkan rakyat
yang berbilang kaum di Malaysia. UPKO menyatakan
bahawa buku-buku teks sivik dan tatanegara di
sekolah-sekolah kebangsaan sejak sekian lama
telah menyatakan bahawa Malaysia merupakan
sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja
berparlimen di mana Islam merupakan agama rasmi
tetapi agama yang lain juga bebas diamalkan.
Pendirian UPKO ini telah mendapat perhatian YAB
Perdana Menteri yang telah memberikan jaminan
bahawa Malaysia bukannya negara teokratik
mahupun sekular, sebaliknya ia sebuah negara
demokrasi berparlimen.
Pendirian Mengenai Kebebasan
Beragama Dalam Konteks Perpaduan Nasional
UPKO juga prihatin dengan
perkembangan-perkembangan semasa yang sedikit
sebanyak menggugat hubungan etnik dan perpaduan
nasional terutamanya yang melibatkan isu
kebebasan beragama. UPKO berpendapat bahawa
identiti nasional haruslah berdasarkan kepada
Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia
di mana semua warga masyarakatnya tanpa mengira
etnik, agama dan kawasan boleh hidup aman damai
dan harmoni.
UPKO telah menyuarakan
kebimbangan mengenai kesan pelbagai kes-kes
keluarga yang melibatkan pertukaran agama yang
boleh memberikan kesan terhadap perpaduan serta
keharmonian kaum dan agama di Malaysia. Sambil
menyatakan kes-kes seperti M.Moorthy, Shamala,
Shubasini, Revathi dan seumpamanya, UPKO melihat
trend bagaimana ia ditangani sebagai sesuatu
yang tidak sihat terutamanya dalam soal
penjagaan anak-anak dan pembahagian harta
sepencarian suami isteri. Percanggahan
pelaksanaan bidang kuasa Mahkamah Sivil dengan
Mahkamah Syariah telah mengakibatkan kecelaruan
dalam pentadbiran kehakiman di negara ini.
Oleh itu, UPKO telah
mencadangkan supaya kerajaan merangka strategi
jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani
isu-isu seperti ini. Antara lainnya ialah
meyokong cadangan supaya kerajaan mewajibkan
pembelajaran dan pengajaran Perlembagaan
Persekutuan
serta
undang-undang yang lain di sekolah-sekolah
kerajaan serta meminta Parlimen supaya mengkaji
semula sistem perundangan yang diperlukan supaya
mahkamah tidak dibebankan untuk membuat
keputusan terhadap sesuatu perkara yang belum
mempunyai peruntukan undang-undang untuk
diinterpretasi oleh mahkamah. UPKO juga
menyatakan pendirian supaya kerajaan
mengambilkira pelbagai pandangan serta cadangan
parti-parti komponen BN, masyarakat sivil dan
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.
Pendirian Mengenai Istilah
"Allah" Di Dalam Alkitab
Penggunaan istilah "Allah"
telah mewujudkan satu bentuk hubungan antara
kaum yang kurang baik di antara masyarakat
Melayu Muslim dengan penganut agama Kristian di
negara ini. Pengharaman kerajaan terhadap
penggunaan istilah "Allah" di dalam Alkitab
berbahasa Melayu yang digunakan oleh sebahagian
besar penganut Kristian di Malaysia khususnya di
Sabah dan Sarawak telah menyebabkan kumpulan ini
menyatakan rasa tidak puas hati. Ini kerana
istilah tersebut telah lama digunakan di dalam
upacara kerohanian Kristian. Keputusan kerajaan
ini bertitik tolak daripada kebimbangan bahawa
ianya mempunyai potensi untuk memberikan
kefahaman yang salah di kalangan masyarakat
Muslim di negara ini.
Bagi UPKO, istilah "Allah"
merupakan terjemahan bahasa Melayu yang betul
bagi istilah "God" dalam bahasa Inggeris, dan "Kinoringan"
di dalam bahasa Kadazandusun. UPKO juga
bersetuju bahawa masyarakat Indonesia dan Arab
Kristian telah lama menggunakan istilah tersebut
tanpa sebarang bantahan daripada masyarakat
Muslim di negara-negara tersebut. UPKO juga
membantah sebarang sekatan terhadap
Alkitab-alkitab yang dibawa masuk ke negara ini
hanya semata-mata kerana mengandungi istilah
tersebut.
UPKO juga menyatakan
pendirian bahawa penggunaan istilah "Allah" di
dalam Alkitab dan upacara kerohanian Kristian
adalah sejajar dengan dasar kerajaan mejadikan
bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Ini
kerana penggunaan Bahasa Kebangsaan seharusnya
digalakkan di kalangan semua rakyat di negara
ini di semua peringkat samada kerajaan,
organisasi swasta, sistem pendidikan, di dalam
upacara gereja mahupun perbualan-perbualan umum.
UPKO berpendapat bahawa pengharaman istilah
tersebut bagi kegunaan penganut Kristian
bertentangan dengan usaha kerajaan untuk
memartabatkan lagi Bahasa Kebangsaan.
|