PENGENALAN

 

PERTUBUHAN PASOKMOMOGUN KADAZANDUSUN MURUT BERSATU (UPKO) (United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation – UPKO) ialah sebuah pertubuhan politik yang diwujudkan untuk membela hak-hak serta memperjuangkan pembangunan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM).

UPKO lahir pada Mei 1964, hasil penggabungan dua pertubuhan politik yakni Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (United Kadazan National Organisation - UNKO) dan Pertubuhan Pasok Momogun Bersatu (United Pasok Momogun Organisation - PASOK MOMOGUN) yang masing-masing memperjuangkan nasib dan masa depan bangsa KDM.

UNKO diasaskan oleh Huguan Siou masyarakat KDM yang pertama, Dato Donald Stephens (kemudiannya Tun Fuad Stephens) pada Ogos 1961, berikutan cadangan Tunku Abdul Rahman Putera, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, untuk menubuhkan satu gagasan negara yang baru yang dipanggil Malaysia. Usaha itu di panggil Projek Malaysia.

PASOK MOMOGUN pula ditubuhkan oleh Orang Kaya Kaya (OKK) Datuk G.S. Sundang, pada Januari 1962 hasil daripada dorongan rakan-rakan daripada suku kaum Tiong Hua di Sabah. Ia juga merupakan reaksi terhadap Projek Malaysia.

Setelah terbentuknya Persekutuan Malaysia pada September 1963, kedua-dua pertubuhan politik KDM itu terus berjuang dengan agenda masing-masing khususnya untuk bertanding dalam pilihanraya kerajaan tempatan atau Majlis-Majlis Daerah tahun 1964.

Setelah melihat, antara lain, kesan buruk perpecahan kerana kewujudan dua parti politik tersebut, terutamanya keputusan pilihanraya majlis daerah itu, para pemimpin UNKO dan PASOK MOMOGUN telah berusaha untuk bergabung pada akhir tahun 1964. Hasilnya ialah penubuhan United Pasok Momogun Kadazan Organisation (UPKO).

Penggabungan tersebut adalah sebahagian daripada usaha orang-orang Kadazandusun untuk menghadapi Pilihanraya Umum Negeri Sabah yang pertama pada April 1967.

Kenyataannya, UPKO telah tewas dalam pilihanraya tersebut. Atas nama perpaduan Bumiputera yang lebih luas, UPKO telah dibubarkan pada Disember 1967 dan di wartakan pada Mei 1968.

Akibatnya, masyarakat KDM telah menempuh satu sejarah politik penuh ranjau dan duri. Orang-orang KDM membawa diri masing-masing lalu menjadi ahli kepada pelbagai parti-parti politik yang wujud di Sabah.

Impian masyarakat KDM untuk memimpin pembangunan Negeri Sabah seakan terserlah berikutan kejayaan dua buah parti politik berbilang kaum iaitu Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bermula dari 1976 hingga 1994. Mungkin antara saat paling manis perjuangan politik orang KDM ialah semasa PBS melahirkan Ketua Menteri daripada suku bangsa sendiri selama dua penggal iaitu dari 1985 hingga 1994. Kejatuhan Kerajaan PBS dan Penubuhan PDS

Kejatuhan kerajaan PBS pada March 1994 telah mencetuskan satu lagi pertubuhan politik yang berasaskan semangat nasionalisma Kadazandusun Murut.

Penubuhan Parti Demokratik Sabah (PDS) ini adalah hasil Resolusi Seri Gaya 14 Mac. Ia merupakan satu persetujuan di kalangan hampir kesemua wakil-wakil rakyat PBS yang telah dicapai melalui satu mesyuarat di kediaman resmi Ketua Menteri Sabah, iaitu Seri Gaya pada malam 14 Mac 1994. Kesemua Wakil-Wakil Rakyat yang hadir telah menandatangani resolusi itu.

Perjuangan PDS Dengan bertemakan Kesinambungan Pembangunan Sosio-ekonomi, PDS dengan lantangnya memperjuangkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Kadazandusun Murut sebagai salah satu daripada sumbangan mereka dalam pembinaan negara bangsa Malaysia.

PDS telah mengorak langkah ke arah matlamat tersebut dengan cara menubuhkan serta memperkukuhkan institusi serta organisasi-organisasi sokongan seperti berikut:

1. Institut Kemajuan Ekonomi Anak Negeri (Institute for Indigenous Economic Progress - INDEP) Sabah. Institut ini telah digerakkan untuk menjalankan penyelidikan serta kajian-kajian bertindak ke atas cabaran-cabaran pembangunan sosio-ekonomi bangsa KDM. Ia telah ditubuhkan pada 1994 dan dilancarkan dengan rasminya oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Mahathir Mohamad pada 1997.

2. Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (Kadazandusun Chamber of Commerce and Industry - KCCI) yang bertujuan mengerakkan serta meningkatkan penyertaan orang-orang KDM dalam perniagaan dan perindustrian mula beroperasi pada 1996.

3. Yayasan Bahasa Kadazandusun (Kadazandusun Language Foundation - KLF) pula menjalankan penyelidikan serta mempromosikan pembangunan bahasa Kadazandusun dan Murut.

4. Persatuan Pendidik Kadazandusun (PEKADUS) turut diwujudkan untuk membela serta memberi sokongan kepada para guru-guru Kadazandusun yang terlibat dengan pengajaran Bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah kerajaan.

5. Persatuan Peneroka-peneroka Bandar Anak Negeri Sabah (Sabah Urban Rural Migrant Association - SURIA) pula memperjuangkan hak-hak orang-orang KDM yang menjadi peneroka di bandar.

PDS dibawah kepimpinan berwawasan dan dinamik, YB Tan Sri Bernard Dompok, dan berikutan perlantikan beliau dalam Kabinet Persekutuan pada 1994, berjaya mengerakkan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan Bahasa Kadazandusun diajar di sekolah-sekolah kerajaan.

Mercu kejayaan PDS ialah perlantikan YB Tan Sri Bernard Dompok sebagai Ketua Menteri Sabah yang ke-11 pada 1998 dalam sistem penggiliran Ketua Menteri .

Namun, PDS ternyata masih gagal untuk menyatupadukan seluruh masyarakat KDM dalam sebuah gagasan pertubuhan politik.

Ini terbukti apabila para pengundi daripada masyarakat KDM, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri N 16 Moyog tidak menyokong dan tidak mengundi Tan Sri Bernard Dompok, selaku Presiden PDS dalam Pilihanraya Umum pada Mac 1999. Akibatnya, perkhidmatan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah, yang seharusnya untuk tempoh dua tahun, turut terhenti.

Majoriti ahli masyarakat KDM juga turut hampa kerana kegagalan Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan untuk kembali menubuhkan kerajaan Sabah meskipun tema perjuangan KOGULI TOKOU WAGU (Kita akan kembali berkuasa) begitu lantang kedengaran terutama semasa kempen.

Dalam kehibaan, satu suasana hening dan periksa diri telah berlaku dikalangan rakyat KDM. “Kenapakah orang kita tidak boleh bersatu kembali?” “Kenapakah kita tidak dapat menentukan hala tuju perjuangan kita yang sebenarnya?” “Kenapakah kita tidak dapat menentukan di mana asas dan tempat kita yang sebenar untuk membela hak-hak bangsa kita?” dan banyak lagi persoalan terus kedengaran di merata tempat.

Pada masa yang sama, segolongan rakyat termasuklah para pemimpin PDS telah mula sedar bahawa sesungguhnya, orang-orang KDM sudah jauh terpesong kerana berpecah belah dalam perjuangan mereka. Orang KDM menjadi ahli kepada semua parti-parti politik yang berdaftar di Sabah kecuali dalam parti Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC).

Kesedaran baru timbul dan tercetuslah seruan bangsa KDM yang menjadi tema perjuangan PDS iaitu “MISOMPURU TOKOU WAGU” atau “Mari Kita Bersatu Kembali”.

Tetapi PDS yang dilahirkan kerana kejatuhan Kerajaan PBS tidak mampu mengangkat seruan tersebut. Justeru para pemimpin PDS membuat keputusan untuk mengorbankan PDS untuk membolehkan pertubuhan politik yang telah diasaskan untuk menyatupadukan bangsa KDM di awal kesedaran politik bangsa KDM iaitu UPKO dihidupkan kembali.

Langkah ini ibarat kata pepatah: Kalau sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Asal mula perjalanan bagi KDM ialah UPKO kerana inilah pertubuhan politik yang telah diasaskan oleh barisan pemimpin orang-orang KDM yang memulakan kebangkitan dan kesedaran politik orang-orang Kadazandusun Murut iaitu Dato Donald Stephens, G.S. Sundang, Datuk Peter Mojuntin dan ramai lagi yang lain.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PDS pada 28 Julai 1999 telah sebulat suara bersetuju untuk mengorbankan PDS. Dalam Kongres PDS yang Ke-5 pada 8 Ogos 1999, yang diadakan di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort, para perwakilan telah sebulat suara bersetuju untuk mengorbankan PDS demi UPKO.

Bendera PDS telah diturunkan dan pada masa yang sama bendera UPKO dinaikkan.

Acara simbolik perjalanan bangsa KDM ke pangkal jalan perjuangan politik dinyatakan oleh Majlis Tertinggi UPKO yang membuat keputusan untuk melancarkan UPKO di Ranau. Kenapa? Ini adalah disebabkan lagenda asal-usul masyarakat KDM ialah Nunuk Ragang iaitu sebuah kawasan yang terletak di daerah Ranau. Lagipun lambang UPKO, iaitu Gunung Kinabalu, juga terletak di Ranau.

Majlis pelancaran pada 30 Oktober 1999 dihadiri oleh beribu-ribu orang KDM daripada seluruh pelusuk Negeri Sabah. Pelancaran itu telah mencipta sejarah sebab, itulah julung-julung kalinya masyarakat Ranau menyaksikan satu perhimpunan terbesar di Dewan Masyarakat Ranau.

Surat-surat penghargaan juga telah disampaikan oleh Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok kepada lebih 50 para pemimpin veteran UPKO sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia tanpa mengira fahaman politik mereka ketika itu. Antara kesan pelancaran itu ialah kembalinya beberapa pemimpin veteran UPKO yang kemudiannya dilantik menjadi anggota Majlis Penasihat Adat UPKO. Mereka ini ialah Tan Sri Sufian Koroh, Toh Puan Rahimah Stephens, Kimon Anad, Paul Gurandi dan Datuk Seri Panglima Fred Jinu.

Dengan pelancaran UPKO, bermula jugalah perjuangan parti ini untuk menyatupadukan bangsa KDM dalam satu gagasan perjuangan politik melalui Kerajaan Barisan Nasional dengan tema “Misompuru Tokou Wagu”

Kejayaan Awal UPKOP ada November 1999, sebulan selepas pelancaran UPKO di Ranau, pucuk pimpinan Barisan Nasional telah memberi tanggungjawab kepada UPKO untuk bertanding di empat kawasan Parlimen iaitu P147 Bandau, P149 Tuaran, P152 Penampang dan P156 Kinabalu.

Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok, telah diutus oleh Pengerusi Barisan Nasional Malaysia, YAB Datuk Seri Panglima Dr. Mahathir Mohamad, untuk bertanding di Kinabalu. Beliau menang dengan 5,423 majoriti undi iaitu satu angka yang tidak pernah diperolehi mana-mana calon parlimen Kinabalu sebelum itu.

Bagi masyarakat KDM, kemenangan itu adalah satu restu simbolik terhadap langkah KDM untuk kembali ke pangkal jalan perjuangan politik demi kesinambungan perjuangan pembelaan hak-hak bangsa Kadazandusun Murut.

UPKO juga memenangi dua daripada tiga lagi kerusi. Wilfred Madius Tangau yang juga Ketua Penerangan UPKO telah menang di Tuaran dengan kelebihan sebanyak 2,813 undi manakala Philip Lasimbang, Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda UPKO telah memenangi kerusi Penampang dengan kelebihan sebanyak 3,320 undi. Calon UPKO di Bandau, Maijol Mahap, Ahli Majlis Tertinggi UPKO telah berjaya mengurangkan majoriti pembangkang walaupun tidak menang.

Kejayaan tiga calon UPKO itu adalah satu kemenangan simbolik bermulanya seruan “Misompuru Tokou Wagu” kepada rakyat khususnya masyarakat KDM yang telah menerima UPKO sekaligus menerima Barisan Nasional sebagai wadah pembelaan dan pembinaan negara bangsa Malaysia.

Kesinambungan Sumbangan UPKO Dalam Pembinaan Negara Bangsa Malaysia.

Kerajaan Barisan Nasional telah memberi keyakinan dan tanggungjawab kepada UPKO untuk memberi sumbangan positif terhadap pembinaan negara Bangsa Malaysia berikutan perlantikan Tan Sri Bernard Dompok sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, perlantikan YB Datuk Wilfred Bumburing, Timbalan Presiden UPKO sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Datuk Wences Angang, Setiausaha Agung UPKO, pula telah dilantik sebagai Menteri dan Datuk Siringan Gubat, Naib Presiden UPKO sebagai Pembantu Menteri dalam kabinet Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Osu Sukam.

Seterusnya perlantikan YB Datuk Wences Angang sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Datuk Siriangan Gubat dalam kabinet Ketua Menteri Datuk Chong Kah Kiat.

Setakat Ogos 2007, UPKO mempunyai 40 Bahagian berdaftar, 1,824 Cawangan dan 102,232 ahli.
 

 RESOLUSI SERI GAYA "14 MAC 1994"

RESOLUSI SERI GAYA 14 MAC adalah asas terpenting penubuhan Parti Demokratik Sabah (PDS). Resolusi ini terkandung dalam satu dokumen yang telah ditandatanggani oleh hampir kesemua Wakil-Wakil Rakyat Parti Bersatu Sabah (PBS) pada malam 14 Mac 1994 bertempat di Seri Gaya iaitu kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan ketika itu.

Resolusi itu ialah satu ketetapan untuk menubuhkan sebuah parti baru yang dinamakan Parti Demokratik Sabah (PDS). Ketetapan itu telah dibuat berikutan keengganan pucuk pimpinan Barisan Nasional untuk menerima permohonan PBS untuk kembali menjadi parti komponen Barisan Nasional.

Pucuk pimpinan Barisan Nasional pada ketika itu telah mengatakan bahawa ia tidak lagi menerima PBS sebagai parti komponen Barisan Nasional tanpa mengira sama ada PBS masih atau tidak lagi dipimpin oleh Pairin.

Penolakan ini dilihat sebagai tindak balas terhadap tindakan PBS keluar daripada Barisan Nasional lima hari sebelum pembuangan undi semasa pilihanraya umum tahun 1990.

Atas sebab itulah Wakil-wakil Rakyat dan para pemimpin PBS telah membuat Resolusi Seri Gaya 14 Mac dengan nekad menubuhkan sebuah wadah kesinambungan perjuangan politik masyarakat Kadazandusun Murut agar dapat terus memberi sumbangan terhadap pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Antara yang telah menandatangani resolusi tersebut ialah, YAB Datuk Joseph Pairin Kitingan, YB Datuk Bernard Giluk Dompok, YB Datuk Wilfred Bumburing, YB Dr. Maximus Ongkili, YB Datuk Wences Angang, YB Markus Majihi, YB Saibul Supu, YB Datuk Baggai Basirun, YB Gisin Lombut, YB Datuk Ewon Ebin, YB Siringan Gubat, YB Datuk Tan Yong Gee, YB Joseph Sitin Saang, YB Jahid Jahim, YB Datuk Lawrence Gimbang, YB Datuk Kadoh Agundong, YB Datuk Adib Sigoh, YB Datuk Steven Kutai, YB Geroge Sangkin, YB Datuk Monggoh Orow, YB Dr. Othman Minudin, YB Radin Maleh, YB Datuk Maichel Asang.

Jawatankuasa Penaja PDS juga telah ditubuhkan dalam satu mesyuarat pada malam 14 Mac yang berlarutan sehingga 15 Mac:

  • PRESIDEN : YB Datuk Bernard Dompok
  • TIMBALAN PRESIDEN : YB Datuk Wilfred Bumburing
  • SETIAUSAHA AGUNG : YB Dr. Maximus Ongkili
  • BENDAHARI AGUNG : YB Datuk Monggoh Orow
  • KETUA PEMUDA : YB Jahid Jahim

Kesemua Wakil-Wakil Rakyat yang telah menandatangani Resolusi Seri Gaya 14 Mac, telah dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

 
Berikutan kelulusan resolusi itu, dokumen pendaftaran PDS telah dibuat sepanjang hari pada 15 Mac 1994 diketuai oleh YB Dr. Maximus Ongkili dan YB Datuk Bernard Dompok.

Pada masa yang sama, pada 15 Mac 1994, satu lagi perbincangan telah diadakan di rumah kediaman peribadi YB Datuk Joseph Pairin Kitingan yang memutuskan penarikan balik hasrat untuk menubuhkan PDS.

Walau bagaimanpun sebahagian besar daripada Wakil-Wakil Rakyat sudahpun berada di Kuala Lumpur pada siang 15 Mac seperti mana yang telah dipersetujui dalam Resolusi Seri Gaya 14.

Pada pagi 16 Mac, proses dokumentasi pendaftaran PDS diteruskan. YB Dr. Maximus tidak bersetuju dengan tindakan itu dan dia dikatakan telah menyimpan Resolusi Seri Gaya 14 yang telah ditandatangani itu.

 

 MEMPERTAHANKAN HAK ORANG-ORANG PASOKMOMOGUN

ASAS perjuangan UPKO ialah membela maruah golongan masyarakat minoriti Malaysia dari Sabah. Ini bererti masyarakat minoriti berhak terlibat secara aktif dalam proses penggubalan dasar dan pembuatan kerajaan.

Dengan cara inilah Upko dapat membela maruah masyarakat minoriti melalui peningkatan pencapaian pembangunan sosio-ekonomi. Parti ini telah berjuang dengan sedaya-upaya melahirkan masyarakat KadazanDusun Murut (KDM) yang mampu bersaing dalam sistem pasaran ekonomi bebas dengan sistem-sistem nilai dan kerangka mental baru yang dapat menangani dan menghadapi cabaran-cabaran pembangunan abad ke 21 demi tercapainya masyarakat KDM baru.

Sama ada masyarakat KDM sedar ataupun tidak, proses perubahan sosio-budaya sudahpun berlaku. Oleh itu, barisan kepimpinan Upko menyokong apa juga dasar kerajaan untuk menyerapkan nilai-nilai keagamaan yang murni yang terdapat dalam kesemua agama ke sistem nilai masyarakat.

Para pemimpin Upko di semua peringkat telah bekerja keras dengan penuh komitmen membawa dan membimbing rakyat ke arah kecemerlangan pembangunan sosio-ekonomi. Parti ini telah dan akan terus melaksanakan program-program melalui tindakan jawatankuasa-jawatankuasa petugas khas parti seperti berikut:

  • Jawatankuasa Petugas Khas Ekonomi
  • Jawatankuasa Petugas Khas Kebudayaan KDM berhubung dengan Dasar Kebangsaan dan Dasar Bahasa Penghantar Rasmi
  • Jawatankuasa Petugas Khas Kedudukan KDM dalam Perkhidmatan Awam (Negeri dan Persekutuan)
  • Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Pendidikan dan Sumber Tenaga Manusia KDM
  • Jawatankuasa Petugas Khas Wanita dalam Pembangunan
  • Jawatankuasa Petugas Khas Komunikasi dalam Pembangunan
  • Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Pertanian dan Perindustrian
  • Jawatankuasa Petugas Khas Kewarganegaraan
  • Jawatankuasa Petugas Khas Kemiskinan
  • Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Belia dan Kepimpinan
  • Jawatankuasa Petugas Khas Perubatan dan Kesihatan

Dengan adanya jawatankuasa-jawatankuasa ini, kedudukan Upko sebagai wadah perjuangan masyarakat KDM akan lebih kukuh lagi dan seterusnya menjadi sumbangan tidak ternilai Upko kepada kemantapan perjuangan Barisan Nasional menuju Wawasan 2020.

 

 DEFINISI UPKO

United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO)

Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu

Pisompuruan Pasokmomogun Kadazandusun Murut

 COGAN KATA UPKO

Let's Unite Again

Kita Bersatu Kembali

Misompuru Tokou Wagu
 

 LAGU UPKO

 

UPKO PARTI KITA 

 

Gunung Kinabalu

itulah lambang parti kita

Berdiri megah memuncak awan

Melambangkan semangat juang.......

 

UPKO Parti kita

Penggerak minda bangsa jaya

Membimbing rakyat jelata

Menuju ke puncak jaya

 

CHO:

Marilah bersatu padu

Bersama berganding bahu

Berjuang membela bangsa

Demi mencapai wawasan

UPKO Parti kita

setia tetap padamu

menjunjung wawasan negara

membina bangsa berjaya.

 

 

 LENCANA

Lambang UPKO mengandungi dua unsur iaitu Gunung Kinabalu berwarna biru tua dan berlatarbelakangkan warna putih.

Gunung Kinabalu melambangkan perpaduan dan identiti Anak Negeri Sabah. Gunung Kinabalu juga melambangkan semangat dan keberanian Parti untuk menghadapi segala rintangan demi untuk mempertahankan hak-hak rakyat di negeri ini.

Disamping itu juga Gunung Kinabalu melambangkan kepentingan bersama demi untuk mencapai satu masyarakat berbilang kaum yang demokratik, progresif, bermaruah, berfikiran bebas dan sihat. Latarbelakang warna putih melambangkan keamanan, kebebasan dan keadilan yang dinikmati oleh rakyat Sabah disamping melambangkan wawasan dan kemajuan.

 

 

 BENDERA

Bendera parti mengandungi dua unsur iaitu Gunung Kinabalu berwarna biru tua dan berlatarbelakangkan warna putih. Skema warna bendera pada keseluruhannya melambangkan budaya politik Parti yang mengamalkan politik perundingan, perkongsian bistari dan menang-menang. Warna biru tua melambangkan kepimpinan bersama dan perundingan tetapi tegas dalam pembuatputusan dan tindakan untuk mengatasi segala cabaran. Warna latarbelakang putih melambangkan kesucian, keluhuran serta keikhlasan dalam perjuangan untuk mencapai wawasan, komuniti, negeri dan negara.
 
 

 MEMOHON MENJADI AHLI UPKO

Borang permohonan menjadi ahli UPKO boleh didapati di:-
 

  • Cawangan-Cawangan UPKO

  • UPKO Bahagian

  • Ibu Pejabat UPKO (Penampang)

Sesiapa yang ingin menjadi ahli hendaklah mengemukakan permohonannya dalam borang yang ditetapkan bersama dengan bayaran yuran masuk dan yuran tahunan kepada Setiausaha Cawangan dimana ia memohon untuk menjadi ahli.

 

 

 YURAN KEAHLIAN

Setiap ahli hendaklah membayar Yuran Tahunan kepada Ibu Pejabat Parti melalui Cawangan dan Bahagian.

  1. Yuran Tahunan seorang ahli ialah RM1.00.
  2. Yuran Masuk ialah RM2.00.

Pembayaran Yuran Tahunan kecuali pembayaran Yuran Masuk ahli baru hendaklah dibayar dalam bulan pertama setiap tahun kewangan.

 

 HAK-HAK AHLI

Seorang ahli adalah berhak untuk:
 

  • Menghadiri dan bercakap dalam semua mesyuarat-mesyuarat yang ia berhak untuk hadir.
  • Mengundi di semua mesyuarat yang ia berhak mengundi.
  • Memegang jawatan yang ia boleh dipilih atau dilantik dalam Parti.
  • Mempunyai hak masuk dan menggunakan dengan munasabah akan kemudahan-kemudahan yang diperuntukan oleh Parti.

 KAD KEAHLIAN

  • Semua ahli hendaklah memiliki satu kad keahlian.
  • Kad keahlian hendaklah dikeluarkan oleh Setiausaha Agung.
  • Seorang ahli tidak akan diiktirafkan kecuali ia memiliki kad keahlian dan telah membayar Yuran tahunan semasa.
  • Majlis Tertinggi boleh membuat peraturan-peraturan berhubung dengan Kad Keahlian

 

 

 PERHUBUNGAN

Alamat

 

 

:

 

 

IBU PEJABAT UPKO
Lot 9 & 10, Tingkat 2 & 3, 
New World Commercial Centre,
Pekan Penampang,
Peti Surat 420,
89507 PENAMPANG, SABAH.
Telefon

 

:

 

088-718182,
088-721722,
088-721723,
Fax : 088-718170 
Email : n4upko@yahoo.com

 

 

 

Copyright 2007-2008. WWW.UPKO.ORG.MY. All Rights Reserved.