KONGRES UNKO 1961
Asas kebangkitan
nasionalisme Kadazandusun Murut dan rumpun
Pasokmomogun bermula daripada sebuah persatuan
kebudayaan dan kebajikan yang ditubuhkan pada 24
Ogos 1953, iaitu The Society of Kadazan.
Persatuan ini bertujuan untuk meningkatkan taraf
hidup kaum Kadazan, termasuklah memberi
perhatian kepada usaha mempertahankan bahasa dan
kebudayaannya. Pada mulanya, persatuan ini hanya
dianggotai oleh orang Penampang sahaja
sehinggalah pada tahun 1960. Antara pemimpin
asal persatuan ini termasuklah Joseph Tino,
Vincent Ligunjang, Richard Yapp, Joe Manjaji,
Cladius Yap dan Herman Motogol. Persatuan ini
juga mengadakan persidangan untuk membincangkan
isu-isu yang melibatkan kepentingan kaum
Kadazandusun pada ketika itu.
Peranan Donald
Stephens dalam menggerakan nasionalisme
Kadazandusun Murut sememangnya tidak dapat
dinafikan. Pada 11 May 1958, Stephens menjadi
Presiden persatuan ini selepas menghadiri
persidangan tahunannya pada Mac 1957. Bermula
daripada detik inilah, persatuan ini menjadi
satu pergerakan pro-politik dan akhirnya menjadi
asas penubuhan UNKO pada tahun 1961.
Transformasi ini memberi peluang kepada satu
lagi penubuhan satu lagi persatuan pada tahun
1959 iaitu Penampang Kadazan Youth Association
yang bertujuan untuk membantu persatuan induk
iaitu Kadazan Society of Penampang dalam
aktiviti-aktiviti sosial dan kebudayaan. Maka,
apabila persatuan induk mengadakan perayaan
Tadau Kaamatan, persatuan belia inilah yang
sebenarnya menjadi tunjang untuk menggerak dan
melaksanakannya. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri
daripada guru-guru dan pelajar St. Michael,
Penampang.
Cetusan
perjuangan politik masyarakat Kadazandusun Murut
bermula ekoran cadangan penubuhan sebuah gagasan
negara baru dengan menyatukan Persekutuan Tanah
Melayu, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak.
Pengumuman cadangan penubuhan pada 27 Mei 1961
ini adalah ilham Perdana Menteri Persekutuan
Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj
dan dinamakan sebagai “Projek Malaysia”.
Reaksi pertama
dari Sabah terhadap cadangan ini ialah
penentangan dari para pemimpin masyarakat
tempatan Sabah, khususnya para Ketua Daerah dan
Orang Kaya-Kaya (OKK). Namun pada ketika itu,
rakyat Sabah belum lagi mempunyai pertubuhan
parti politik sebagai saluran bersuara. Maka itu,
pada bulan Ogos 1961, satu persidangan pemimpin
Kadazandusun Murut daripada pelbagai cawangan
Persatuan Kadazan telah diadakan untuk
membincangkan kemungkinan untuk menubuhkan
sebuah parti politik. Dalam persidangan,
identiti Kadazan – Dusun – Pasok Momogun
merupakan topik yang paling hangat dibincangkan.
Akhirnya Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu
atau United National Kadazan Organisation (UNKO)
ditubuhkan dengan keahliannya dibuka kepada:-
a) Orang
Kadazan sahaja atau yang mempunyai ibu atau bapa
berketurunan Kadazan serta mestilah berumur 16
tahun ke atas.
b) Ahli
mesti bersetuju dan bersumpah bahawa mereka akan
patuh kepada peraturan dan perlembagaan parti.
Presiden UNKO
yang pertama ialah Donald Stephens dan
Timbalannya ialah Datuk G.S. Sundang. Majlis
Tertinggi parti ini juga dianggotai oleh Datuk
Peter Mojuntin dan ketua-ketua masyarakat dari
Penampang, Papar dan beberapa kawasan Pantai
Barat Sabah. Selain semangat juang untuk merdeka,
masyarakat Kadazandusun pada ketika itu juga
terus dibelenggu dilemma soal nama panggilan
kesukuan yang harus digunakan terhadap
masayarakat Anak Negeri Sabah. Kongres UNKO yang
pertama telah membahaskan nama-nama panggilan
kebangsaan yang sesuai untuk mereka. Antara nama
panggilan yang dicadangkan ialah Kadazan, Dusun
dan Momogun.
Atas sebab
kesukaran mencapai persetujuan mengenai nama
panggilan suku bangsa, pencadang nama panggilan
“Momogun”, iaitu Datuk G.S. Sundang telah
meletak jawatan dari parti UNKO. Beliau
seterusnya menubuhkan satu lagi parti politik
berasaskan Kadazandusun pada Januari 1962, iaitu
Pasok Momogun atau United Pasok Momogun National
Organisation. Parti ini merupakan parti bagi
Orang Asal Sabah yang kedua selepas UNKO dan
mendapat sokongan masyarakat Dusun dan Murut
dari kawasan Pedalaman.
Para pemimpin
UNKO dan Pasok Momogun telah memberikan
sumbangan penting dalam dokumen Memorandum 20
Perkara yang menyentuh keprihatinan golongan
minoriti mengenai hak dan kedudukan mereka
sebagai Bumiputera dalam negara baru yang
dipanggil Persekutuan Malaysia.
Masyarakat
Kadazandusun terus mengalami pergolakan kerana
kedua-dua parti politik, UNKO dan Pasok Momogun
masih tidak sehaluan. UNKO ditubuhkan untuk
menyatukan masyarakat Kadazandusun,
memperjuangkan satu matlamat bersama dalam
politik, ekonomi dan sosial di samping menggesa
Kerajaan British agar tidak mengabaikan hak-hak
Bumiputera. Keahlian UNKO pada awalnya
dikhususkan kepada orang-orang Kadazandusun
kerana pengasasnya percaya bahawa masyarakat ini
yang dianggarkan 168,367, iaitu 32% daripada
penduduk Sabah pada tahun 1960 sudah cukup untuk
UNKO kukuh berdiri.
Kedudukan UNKO
tergugat dengan kemunculan parti United Sabah
National Organization (USNO) yang membuka
keanggotaan kepada semua golongan Bumiputera
samada Islam atau bukan Islam. Ini telah menarik
perhatian ramai orang Dusun untuk menyokong USNO
kerana mereka tidak setuju dengan penggunaan
istilah “Kadazan” yang diperjuangkan UNKO. Di
samping itu, mereka juga khuatir tentang
kedudukan mereka kerana kurang maju dari segi
pendidikan dan ekonomi menyebabkan mereka dengan
lebih muda didominasi oleh Kadazan Penampang
yang lebih berpendidikan ketika itu.
Penubuhan parti
Pasok Momogun pula disokong oleh masyarakat Cina
yang kurang senang dengan cadangan Projek
Malaysia kerana UNKO telah mengambil pendirian
untuk menyokong pembentukan negara Malaysia.
Pasok Momogun membantah dengan alasan Sabah
perlu mendapat kemerdekaan terlebih dahulu
sebelum memikirkan samada menyertai Persekutuan
Malaysia.
Peter Chin,
seorang ahli perniagaan dari Jesselton (kini
Kota Kinabalu) telah berjaya memujuk
pemimpin-pemimpin Kwijau tiga bersaudara, iaitu
Datuk G.S. Sundang, O.K.K. Sedomon dan Jaimi
untuk membentuk parti Pasok Momogun. Parti ini
membuka keahliannya kepada semua kaum dan
bersikap anti-Malaya. Pasok Momogun mendapat
bantuan kewangan daripada saudagar-saudagar Cina
seperti Khoo Siak Chew.
Proses
perundingan membentuk Persekutuan Malaysia telah
melalui berbagai peristiwa pahit dan manis.
Namun demikian, cadangan Tunku itu diterima
setelah proses perundingan yang memakan masa
selama 28 bulan, iaitu dari bulan Mei 1961
hinggalah ke bulan September 1963. Akhirnya pada
31 Ogos 1963, Borneo Utara telah diberi status
yang membolehkannya memerintah secara sendirian.
Peristiwa bersejarah ini merupakan 16 hari
sebelum Borneo Utara mendapatkan kemerdekaannya
sepenuhnya dalam negara Malaysia, iaitu pada 16
September 1963. Masyarakat Kadazandusun pada
masa itu telah diberi satu penghormatan besar
kerana Ketua Menteri pertama yang dilantik ialah
Donald Stephens.
Penubuhan
Persekutuan Malaysia telah memberikan tamparan
hebat kepada Pasok Momogun kerana dua buah parti
politik Cina, iaitu United Party (UP) dan
Democratic Party (DP) yang merupakan penyumbang
sumber kewangan kepada Pasok Momogun telah
bergabung dan membentuk Parti Kebangsaan Borneo
Utara atau Borneo Utara National Party (BUNAP).
Ini menyebabkan Parti Pasok Momogun kehilangan
sokongan kewangan dan tidak mempunyai pilihan
lain kecuali bergabung dengan UNKO pada Mei 1964
untuk membentuk United Pasok Momogun Kadazan
Organisation (UPKO).
Pada 12 April
1964, satu mesyuarat di antara pemimpin UNKO dan
Pasok Momogun diadakan di Rumah Rehat Tenom.
UNKO diwakili oleh Stephens, Mojuntin, Manjaji
dan Fred Tan, manakala Pasok Momogun diwakili
oleh G. S. Sundang, Sodomon, Sundang, O.K.K.
Koroh, Haji Asneh, O.K.K. Angkoi, Tingkalor
Lampag dan semua ketua masyarakat Murut.
Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan
penggabungan kedua-dua parti kerana ia
disifatkan sebagai berkongsi ikatan kekeluargaan
yang sama. Kesemua pemimpin yang hadir
menyatakan sokongan terhadap hasrat murni
tersebut. Pada 13 Jun 1964, satu perhimpunan
terbesar di kalangan pemimpin Kadazandusun dan
Murut diadakan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.
Perhimpunan yang
dipengerusikan bersama oleh Stephens dan Sundang
ini sebulat suara untuk menggabungkan UNKO dan
Pasok Momogun menjadi UPKO. Resolusi ini
dicadangkan oleh Peter Mojuntin dan Stanley Ho,
dua Ahli Parlimen muda yang hadir. Antara ketua
masyarakat yang hadir ialah OKK Sodomon, OKK
Koroh, OKK Tambakau, Dato OKK Angian, OKK Jaimi,
KAN Madan, Sanggau dari Keningau dan Tenom, OKK
Mulok dari Sipitang, OKK Bulangang dan Robert
Bulanggan dari Kuala Penyu, OKK Haji Asneh dari
Beaufort, OKK Ewn dan N.C. Manjakon dari
Penampang, OKK Majimbun dari Inanam, KAN Amit
dari Papar, OKK Nonon dari Tuaran, KAN Belingi
dari Tenghilan, OKK Akoi dan KAN Sepikit, Saliun
dari Ranau, OKK Rantian dari Kota Belud, KAN
Jamari OT Assan Gaban dari Kudat dan Bandau,
Chong Ang Khoi dari Labuan serta banyak lagi
pemimpin masyarakat Kadazandusun yang lain.
Penyatuan
kedua-dua parti politik ini mengukuhkan
kedudukan Bumiputera Bukan Islam dalam Kerajaan
Perikatan Sabah dan melambangkan perpaduan
masyarakat Kadazandusun dalam kesinambungan
perjuangan politik mereka.
Kewujudan UPKO
telah menggugat kedudukan USNO dalam pengagihan
kerusi Dewan Undangan Sabah. Sekitar Mei hingga
Jun 1964, jumlah kerusi DUN yang dipilih
ditambah kepada 32 kerusi dengan pengagihannya
ialah USNO: 14, UPKO:11 dan SCA: 7. Setiap
komponen Perikatan Sabah juga diberikan satu
tambahan kerusi yang dilantik. Oleh itu,
pengagihan kerusi DUN Sabah pada tahun 1964
adalah USNO: 15, UPKO: 12, SCA: 8 dan SIC: 1.
Disebabkan
tekanan politik daripada Kerajaan Persekutuan
dan USNO, Donald Stephens terpaksa meletak
jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah pada 31
Disember 1964 dan digantikan oleh Peter Lo
daripada SCA. UPKO tidak menarik diri daripada
Perikatan Sabah walaupun Donald Stephens meletak
jawatan. Sebaliknya, satu lagi penghormatan
besar diberikan kepada masyarakat Kadazandusun
apabila beliau dilantik sebagai Menteri
Pertahanan Awam dan Hal-Ehwal Sabah di Kerajaan
Persekutuan pada Januari 1965.
Beliau melepaskan
jawatan ini pada Ogos 1965 kerana beliau tidak
dibawa berunding berhubung penarikan Singapura
daripada Malaysia. Penarikan diri Singapura
daripada Malaysia menimbulkan kesan negatif
kepada situasi politik Sabah dan menyebabkan
ketegangan hubungan di antara UPKO dan Kerajaan
Persekutuan. UPKO di bawah pimpinan Donald
Stephens meminta dikaji semula peraturan
berkaitan kemasukan Sabah dalam Malaysia. Ini
mengakibatkan Kerajaan Pusat mula campur tangan
dalam pengendalian politik di Sabah.
Ketegangan
politik Sabah ini semakin memuncak menjelang
Pilihanraya Umum Negeri yang pertama pada April
1967 sehingga mewujudkan masalah pengagihan
calon di antara komponen Perikatan Sabah.
Keputusannya ialah USNO: 14, UPKO: 12, SCA: 4
dan Bebas: 1. Pada mulanya UPKO dan SCA
bersetuju bekerjasama untuk membentuk Kerajaan
Negeri Sabah. SCA mengubah pendirian kerana
masih memerlukan sokongan Bumiputera Islam USNO
di samping tekanan daripada Kuala Lumpur. USNO
berusaha memujuk pemimpin-pemimpin UPKO
menyertainya melalui tawaran jawatan dalam
Kabinet Negeri. Akhirnya, USNO mula lemah
apabila Payar Juman dan Wong Fook Siang
menyertai USNO. Beberapa ahli UPKO turut
menyertai USNO. Dengan sokongan secara tidak
langsung dari Kerajaan Pusat, maka pada 15 Mac
1967, USNO akhirnya berjaya menyingkirkan UPKO
daripada Kerajaan Perikatan Sabah dan seterusnya
dibubarkan pada bulan Disember 1967.
RESOLUSI GAYA 14
MAC 1994
Penubuhan Parti
Demokratik Sabah (PDS) merupakan satu cabaran
yang paling besar dilalui oleh pemimpin-pemimpin
UPKO yang masih bertahan sehingga kini. Fitnah
seperti mereka telah membelot bangsa, melompat
parti, mudah dibeli oleh wang dan tamak kuasa
merupakan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh
pemimpin-pemimpin dan masyarakat Kadazandusun di
awal penubuhan parti ini. Malah yang sedihnya,
pemimpin seperti Huguan Siou dan beberapa
pemimpin lain yang masih ada sekarang ini turut
melemparkan fitnah tersebut sedangkan peranan
serta pembabitan mereka sendiri dalam penubuhan
PDS sangat jelas. Hakikatnya, Resolusi Seri Gaya
14 Mac 1994 memang wujud dan dipersetujui oleh
semua ADUN dan ADR PBS yang hadir pada ketika
itu.
Tanda-tanda
kejatuhan Kerajaan PBS mula kelihatan dengan
tindakan tergesa-gesa YB Datuk Joseph Pairin
Kitingan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)
setahun lebih awal. Pemerhati politik mendakwa
bahawa tindakan Presiden PBS membubarkan DUN
tanpa mengadakan perbincangan terperinci dengan
pemimpin-pemimpin kanan parti terutama sekali
Timbalan-Timbalan Presiden Parti ketika itu
adalah dianggap tidak bijak sama sekali.
Perletakan jawatan dan keahlian parti oleh YB
Datuk Yong Teck Lee, salah seorang Timbalan
Presiden merupakan satu testimoni
ketidakpuashatian terhadap cara Datuk Pairin
membuat keputusan pada ketika itu. Datuk Yong
kemudiannya menubuhkan Parti Maju Sabah (SAPP)
dan menyatakan kekesalan beliau kerana tidak
lagi diminta berbincang atau berunding khususnya
mengenai perkara-perkara yang melibatkan
kepentingan masyarakat Tionghua di Sabah. Datuk
Pairin juga enggan meletakkan beliau sebagai
calon pilihanraya, termasuklah beberapa ADUN
lain yang dikatakan tidak setia kepada Datuk
Yong. Malah, YB Datuk Bernard Dompok, seorang
lagi Timbalan Presiden PBS juga hanya diletakkan
sebagai calon di saat-saat akhir.
Kejatuhan
Kerajaan PBS sebenarnya disebabkan oleh
kegagalan parti tersebut mendapatkan majoriti
besar dalam pilihanraya umum tahun 1994.
Kedudukan dan kestabilan politik Kerajaan PBS
menjadi lemah apabila tiga orang wakil rakyat
PBS bertindak keluar parti dan memasuki Barisan
Nasional. Tindakan pemimpin-pemimpin PBS,
khususnya ASUN dari kumpulan masyarakat Tionghua
dan Bumiputera Islam telah melemahkan lagi
kekuatan PBS apabila masing-masing keluar
daripada parti itu. Akhirnya Datuk Pairin
terpaksa meletakkan jawatan sebagai Ketua
Menteri pada 17 Mac, 1994.
Proses kejatuhan
Kerajaan PBS dan seterusnya penubuhan PDS dapat
dilihat dan dianalisa melalui
peristiwa-peristiwa penting dalam perkembangan
politik Sabah pada tahun 1994 seperti berikut:-
Tarikh Peristiwa
10 Jan 1994
YAB Datuk Joseph Pairin Kitingan, Ketua Menteri
Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan
Negeri Sabah dengan tiba-tiba untuk membolehkan
pilihanraya umum negeri. Pemimpin-pemimpin PBS
melobi supaya dicalonkan dalam pilihanraya
tersebut.
14 Jan 1994
Suruhanjaya Pilihraya (SPR) mengumumkan tarikh
pembuangan undi pada 18-19 Februari 1994.
17 Jan 1994
Keputusan perbicaraan kes rasuah Datuk Pairin
didengarkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Beliau didapati bersalah dan didenda kurang
daripada RM2,000.00. Dendaan ini membolehkan
beliau masih layak bertanding dalam pilihanraya.
22 Jan 1994
Parti SAPP yang diketuai oleh Datuk Yong Teck
Lee ditubuhkan.
4 Feb 1994
Parti SAPP diterima masuk sebagai sebuah parti
komponen BN.
7 Feb 1994
Hari penamaan calon pilihanraya. Lima orang
calon Bebas telah mendakwa sebagai calon Bebas
PBS, iaitu Datuk Clarence Bongkos Malakun, YB
Senator Laimun Laikim, James Vitales, Nobert
Chin, Sual Boleh dan Dennis Rantau.
18/19 Feb
Pembuangan undi pilihanraya umum negeri Sabah.
19 Feb 1994
Keputusan pilihanraya diumumkan di mana PBS
memenangi 25 kerusi, sementara BN menang 23
kerusi. Kerusi-kerusi BN dimenangi oleh UMNO 18
kerusi, SAPP 3, LDP 1 dan AKAR 1.
21 Feb 1994
Datuk Pairin mengangkat sumpah sebagai Ketua
Menteri Sabah pada jam 10.05 pagi di hadapan
Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri selepas
menunggu selama 36 jam di luar Istana. Sebanyak
lapan ahli kabinet Kerajaan PBS turut mengangkat
sumpah.
1 Mac 1994 YB
Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menyatakan bahawa
beliay dan beberapa orang pemimpin PBS telah
mengadakan perundingan secara tidak rasmi
mengenai kemungkinan penubuhan Kerajaan Campuran
PBS-BN di Sabah.
3 Mac 1994 YB
Datuk Joseph Kurup, Setiausaha Agung PBS, atas
inisiatifnya sendiri telah mengadakan pertemuan
dengan para pemimpin atasan UMNO di Kuala Lumpur
untuk membincangkan kemungkinan mewujudkan
semula hubungan kerja yang baik antara pemimpin
negeri dan persekutuan.
YB Datuk Lajim Haji Okin,
Naib Presiden PBS menyatakan bahawa parti
mengizinkan Datuk Dr. Jeffrey untuk mengadakan
perbincangan dengan pemimpin-pemimpin BN untuk
menamatkan perhubungan tegang Negeri-Persekutuan.
5 Mac 1994
Datuk Pairin menyatakan bahawa beberapa cubaan
telah dilakukan oleh pihak pembangkang untuk
menarik ADUN PBS. Kenyataan ini dibuat sempena
sambutan ulangtahun parti PBS yang kesembilan di
Hongkod Koisaan, Penampang.
7 Mac 1994
Seramai 12 Pembantu Menteri yang dilantik ke
dalam kabinet baru Datuk Pairin mengangkat
sumpah di hadapan Tuan Yan Terutama Yang
Dipertua Negeri.
11 Mac 1994
Enam pemimpin PBS bertindak keluar parti iaitu
Datuk Clarence Bongkos Malakun, YB Senator
Laimun Laikim, James Andrew Vitales, Datuk
Conrad Mojuntin, Frederick Labunda dan Mohd.
Ainal Fatah. Mereka mengumumkan pendaftaran
sebuah parti baru yang dinamakan Parti Bersatu
Rakyat Sabah (PBRS). Datuk Bongkos menjadi
Presiden penaja parti tersebut.
12 Mac 1994
Tiga ADUN PBS bertindak keluar parti dan
menyertai UMNO. Mereka ialah YB Datuk Lajim Haji
Okin, YB Rubin Balang dan YB Datuk Haji Zaini
Mohd. Isa.
12 Mac 1994
Datuk Dr. Herman Luping membuat kenyataan akhbar
bahawa Datuk Joseph Kurup tidak akan
meninggalkan PBS.
13 Mac 1994
Datuk Pairin mengumumkan pembubaran DUN yang
bertahan hanya selama tiga minggu sahaja pada
jam 12.20 tengahari di kediaman rasmi beliau di
Seri Gaya untuk membolehkan pilihanraya baru
diadakan. Menurut Datuk Pairin, Tuan Yang
Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Mohd.
Said Keruak telah bersetuju dengan pembubaran
tersebut pada pertemuan beliau pada jam 9.15
pagi. Walau bagaimanapun, Tun Mohd. Said
menafikan memberikan persetujuan dan kemudian
membuat laporan polis pada 4.15 petang di Ibu
Pejabat Polis Kota Kinabalu mengenai dakwaan
bahawa beliau menandatangani dokumen pembubaran
DUN.
14 Mac 1994 YB
Datuk Michael Lim Yun Sang menyertai SAPP.
Datuk Dr. Jeffrey
menyatakan bahawa Datuk Pairin bersetuju untuk
mengundurkan diri sebagai Ketua Menteri bagi
menyelesaikan krisis politik negeri. Kenyataan
ini dibuat di kediaman YAB Perdana Menteri di
Sri Perdana sempena rumah terbuka Hari Raya.
Datuk Dr. Jeffrey kemudiannya mengadakan
perbincangan dengan YAB Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamed dan kenyataan beliau disiarkan secara
langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pada sebelah petangnya, beberapa ADUN PBS
bertindak meninggalkan parti iaitu YB Datuk
Baharom Abu Bakar Titingan dan YB Datuk Hassan
Alban Sandukung. Datuk Dr. Jeffrey membuat
pengumuman pada sebelah petang mengenai
hasratnya mahu memasuki parti dalam komponen BN.
14 Mac 1994 YB
Datuk Bernard Giluk Dompok bersama-sama dengan
beberapa ADUN PBS, dengan restu Datuk Pairin,
pergi ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan YAB
Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyampaikan
hasrat PBS untuk kembali ke pangkuan BN. Beliau
kembali ke Sabah pada jam 11.35 malam dan terus
menuju ke Seri Gaya untuk bermesyuarat dan
memberi laporan kepada Datuk Pairin, ADUN-ADUN
dan ADR-ADR PBS yang lain. Dalam mesyuarat
tersebut adalah ketara bahawa pemimpin-pemimpin
Cina dan Bumiputera Islam akan meninggalkan PBS.
Datuk Bernard melaporkan bahawa Datuk Seri Anwar
Ibrahim memberitahu beliau dan rombongan bahawa
BN tidak akan melayan apa juga permintaan atas
nama PBS.
Semua yang hadir bersetuju
menubuhkan parti baru melalui satu resolusi yang
ditandatangani oleh kesemua ADUN dan ADR PBS
yang tinggal. Mereka ialah Datuk Pairin, Datuk
Bernard Dompok, Datuk Wilfred Bumburing, Dr.
Maximus Ongkili, Datuk Steven Kutai, Datuk Ewon
Ebin, Datuk Monggoh Orou, Datuk Baggai Basirun,
Datuk Wences Angang, Datuk Tan Yong Gee, Datuk
Kadoh Agundong, Datuk Lawrence Gimbang, Datuk
Michael Asang, Dr. Othman Minudin, Datuk Adib
Sigoh, Siringan Gubat, George Sangkin, Gisin
Lombut, Jahis Jahim, Joseph Sitin Saang, Markus
Majihi, Radin Maleh dan Saibul Supu. Resolusi
ini dikenali sebagai “Resolusi Seri Gaya 14 Mac
1994” dan ada dalam simpanan bekas Setiausaha
Agung Penaja PDS, YB Dr. Maximus Ongkili.
Datuk Pairin bersetuju
bahawa nama yang paling sesuai bagi partu baru
tersebut ialah Parti Demokratik Sabah (PDS) yang
menurut beliau mempunyai “fengshui” yang bagus.
15 Mac 1994
Tiga ADUN PBS mengumumkan perletakan jawatan
mereka iaitu YB Datuk Chau Tet On, YB Datuk
Joseph Kurup dan YB Datuk Chau Chin Tang. Dua
Ahli Parlimen dan seorang Senator PBS iaitu YB
Lai Lun Tze, YB Joseph Vun Shin Choi dan YB
Senator Frankie Chong turut meletak jawatan dan
kemudiannya menyertai SAPP. Setakat ini,
sejumlah sembilan ADUN PBS telah mengumumkan
perletakan jawatan dan keahlian mereka dalam
perti. Tujuh daripadanya menyertai BN. Ini
menjadikan bilangan kerusi BN menjadi 30 dan PBS
hanya mempunyai baki 22 kerusi, termasuk ADUN
yang dilantik.
YB Datuk Josep Kurup,
Datuk Clarence Bongkos, Dr. Jeffrey Kitingan dan
YB Datuk Maidom Pansai melancarkan Parti Bersatu
Rakyat Sabah (PBRS) yang telah didaftarkan lebih
awal. Datuk Clarence mengumumkan Datuk Kurup
sebagai Presiden Penaja PBRS dan Dr. Jeffrey
sebagai Timbalan Presiden.
Dr. Maximus Ongkili dan
pemimpin-pemimpin PBS yang lain menyediakan
dokumen untuk mendaftarkan PDS d Seri Gaya
selaras dengan keputusan penubuhan Parti PDS
pada malam 14 Mac 1994. Selepas selesai, satu
lagi mesyuarat diadakan di rumah kediaman Datuk
Pairin. Beliau kemudiannya menarik balik
restunya terhadap penubuhan PDS. Keputusan
beliau tersebut dipengaruhi oleh para pemimpin
PBS yang kebanyakannya tewas dalam pilihanraya.
Beliau tidak mendengar nasihat dan pendapat
mengenai kepentingan perwakilan masyarakat
Kadazandusun dalam kerajaan.
Dengan keadaan demikian,
Datuk Bernard Dompok dan ADUN-ADUN PBS yang
lain, khususnya dari kalangan Bumiputera Bukan
Islam meneruskan cadangan menubuhkan PDS seperti
yang telah dipersetujui bersama atas dasar mahu
memastikan supaya ada perwakilan yang efektif
dari semua kaum dan perkongsian kuasa dalam
Kerajaan BN.
Dr. Jeffrey meninggalkan
PBRS dan mengumumkan hasrat beliau untuk
menubuhkan satu lagi parti baru.
16 Mac 1994 Dr.
Jeffrey mengumumkan bahawa beliau akan
menubuhkan parti baru yang dinamakan Parti
Demokratik Sabah Bersatu (PDSB). Peristiwa ini
berlaku sehari selepas beliau diumumkan menjadi
Timbalan Presiden PBRS. Dalam kenyataannya,
beliau mempelawa Datuk Pairin dan
pemimpin-pemimpin PBS yang lain untuk
menyertainya.
BN telah mengumumkan
secara rasmi kepada Tuan Yang Terutama Yang
Dipertua Negeri Sabah bahawa ia telah
mengukuhkan kedudukan majoriti dalam DUN dan
harus diberi mandat untuk menubuhkan kerajaan
negeri dengan YB Tan Sri Sakaran Dandai, Ketua
Perhubungan UMNO Sabah sebagai Ketua Menteri
Sabah.
17 Mac 1994
Datuk Pairin meletakkan jawatan sebagai Ketua
Menteri Sabah pada jam 1.50 petang dengan alasan
PBS kini hanya mempunyai 22 ADUN sahaja.
Seterusnya, beliau mengadakan sidang akhbar
perletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah
di Seri Gaya pada jam 2.00 petang.
Pada jam 2.30 petang,
Datuk Bernard mengumumkan penyerahan permohonan
penubuhan PDS bersama-sama dengan 21 pemimpin
PBS iaitu YB Datuk Wilfred Bumburing, YB Datuk
Steven Kutai, YB Datuk Monggoh Orou, YB George
Sangkin, YB Gisin Lombut, YB Markus Majihi, YB
Datuk Baggai Basirun, YB Ewon Ebin, YB Siringan
Gubat, YB Datuk Wences Angang, YB Datuk Kadoh
Agundong, YB Jahid Jahim, YB Datuk Lawrence
Gimbang, YB Joseph Sitin Saang, YB Dr. Othman
Minudin, YB Radin Maleh, YB Saibul Supu, James
Ligunjang, Claudius Sundang Alex, Alex Martin
dan Daniel John.
Pada jam 3.00 petang, Tan Sri Sakaran Dandai
mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di
hadapan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri
Sabah.
18 Mac 1994
Datuk Pairin menyerahkan tugas Ketua Menteri
kepada Tan Sri Sakaran Dandai di pejabat Ketua
Menteri. Persidangan Dewan Undangan Negeri
diadakan. Para ADUN dan ahli kabinet BN
mengangkat sumpah.
21 Mac 1994
Datuk Bernard menerima Sijil Pendaftaran PDS
daripada Pendaftar Pertubuhan.
27 Mac 1994
PDS dilancarkan secara rasmi di Hongkod Koisaan.
Terdapat 18 bekas wakil rakyat PBS yang
menyertai pelancaran tersebut.
10 April 1994
Datuk Kadoh Agundong, Naib Presiden PDS Penaja
PDS dan YB Jahid Jahim, Ahli Majlis Tertinggi
PDS bertindak meninggalkan PDS dan kemudiannya
menyertai AKAR.
12 April 1994
Datuk Markus Majihi meninggalkan PBRS dan
menyertai PDS. Beliau sebelum ini merupakan Ahli
Majlis Tertinggi PDS.
15 April 1994
YB George Sangkin meninggalkan PDS dan menyertai
AKAR.
23 April 1994
YB Datuk Monggoh Orow, Bendahari Agung Penaja
PDS meninggalkan PDS dan menyertai AKAR. Pada
ketika ini, PDS masih mempunyai 12 ADUN dan 2
ADR, sekaligus menjadi parti yang kedua terbesar
selepas UMNO.
11 Jun 1994
PDS diterima sebagai salah satu daripada parti
komponen BN.
Kronologi
peristiwa kejatuhan Kerajaan PBS ini membuktikan
bahawa PDS ditubuhkan oleh bekas wakil-wakil
rakyat PBS selepas kejatuhan kerajaan tersebut.
Jika dilihat secara terperinci dari segi proses
pembentukan PDS, khususnya penglibatan Datuk
Pairin dalam membuat keputusan menubuhkan PDS
pada malam 14 Mac 1994, PDS sememangnya
ditubuhkan dengan restu barisan kepimpinan PBS
ketika itu, khususnya dari kalangan Kadazandusun.
Untuk rekod sejarah, Datuk Pairin telah membuat
kenyataan akhbar pada 17 Mac 1994, yang dipetik
oleh akhbar nasional sebagai,
“The turns of
events have brought about a situation much
different from that of 21 February, 1994 when I
was sworn in as the Chief Minister of Sabah
after the Parti Bersatu Sabah had won 25 seats.
With the appointment of the six nominated
assemblymen, the total was brought to 31 seats.
The situation is now reversed with the Barisan
Nasional having majority of 33 seats to PBS’ 21
thus paving the way for it to form the new
government...” he told a packed press conference
at his former official residence Seri Gaya. –
New Straits Times, 18 March 1994.
Ini menunjukkan
bahawa pemimpin-pemimpin PDS masih lagi ahli PBS
pada ketika Datuk Pairin meletak jawatan.
Kronologi ini membuktikan bahawa pemimpin PDS
atau UPKO sekarang bukanlah para pemimpin yang
tamak dan gila kuasa seperti yang difitnah.
Mereka merasakan tanggungjawab untuk mempastikan
agar semua kaum di Sabah menikmati pembangunan
dan kemajuan melalui perwakilan yang efektif dan
perkongsian kuasa secara formal dalam Barisan
Nasional.
KONGRES PDS 1999
Kegagalan
calon-calon BN daripada PDS dalam pilihanraya
DUN pada bulan Mac 1999 menunjukkan bahawa parti
tersebut masih gagal menyatupadukan seluruh
masyarakat Kadazandusun dan rumpun Pasokmomogun
dalam satu gagasan pertubuhan politik. Ini
terbukti apabila para pengundi daripada N16
Moyog tidak menyokong dan tidak mengundi Tan Sri
Bernad Dompok, Presiden PDS. Akibatnya,
perkhidmatan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah
dalam sistem penggiliran yang diperkenalkan
sejak tahun 1994 juga terhenti begitu juga.
Majoriti ahli
masyarakat Kadazandusun juga turut hampa kerana
kegagalan Huguan Siou Datuk Seri Panglima
Joseph Pairin Kitingan untuk kembali menubuhkan
kerajaan Sabah meskipun tema perjuangan “Koguli
Tokou Wagu” (kita akan kembali berkuasa) begitu
lantang kedengaran terutama semasa kempen.
Slogan ini merupakan satu faktor utama
pengalihan undi kaum Kadazandusun yang tidak
mempercayai bahawa PBS tidak mungking akan
berkuasa kembali berdasarkan kepada perubahan
sempadan pilihanraya yang baru.
Dalam kehibaan,
satu suasana hening dan periksa diri telah
berlaku dikalangan rakyat KDM. “Kenapakah orang
kita tidak boleh bersatu kembali?” “Kenapakah
kita tidak dapat menentukan hala tuju perjuangan
kita yang sebenarnya?” “Kenapakah kita tidak
dapat menentukan di mana asas dan tempat kita
yang sebenar untuk membela hak-hak bangsa kita?”
dan banyak lagi persoalan terus kedengaran di
merata tempat. Pada masa yang sama, segolongan
rakyat termasuklah para pemimpin PDS telah mulai
sedar bahawa sesungguhnya, orang-orang
Kadazandusun sudah jauh terpesong kerana
berpecah-belah dalam perjuangan mereka. Orang
Kadazandusun menjadi ahli kepada semua
parti-parti politik yang berdaftar di Sabah
kecuali dalam parti Malaysian Chinese
Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress
(MIC).
Kesedaran baru
timbul dan tercetuslah seruan bangsa
Kadazandusun yang menjadi tema perjuangan PDS
iaitu “Misompuru Tokou Wagu” atau “Mari Kita
Bersatu Kembali”. Tetapi PDS yang dilahirkan
kerana kejatuhan Kerajaan PBS tidak mampu
mengangkat seruan tersebut. Justeru itu, para
pemimpin PDS membuat keputusan untuk
mengorbankan parti tersebut untuk membolehkan
pertubuhan politik yang telah diasaskan untuk
menyatupadukan bangsa Kadazandusun di awal
kesedaran politik bangsa mereka iaitu UPKO
dihidupkan kembali. Langkah ini ibarat kata
pepatah, “Kalau sesat di hujung jalan, balik ke
pangkal jalan”. Asal mula perjalanan bagi
Kadazandusun ialah UPKO kerana inilah pertubuhan
politik yang telah diasaskan oleh barisan
pemimpin orang-orang Kadazandusun yang memulakan
kebangkitan dan kesedaran politik bangsa iaitu
Dato Donald Stephens, G.S. Sundang, Datuk Peter
Mojuntin dan ramai lagi yang lain.
Mesyuarat Majlis
Tertinggi PDS pada 28 Julai 1999 telah sebulat
suara bersetuju untuk mengorbankan PDS. Dalam
persidangan tahunan PDS yang kelima pada tahun
1999 di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort, usul
untuk meminda nama parti kapada UPKO menjadi
salah satu topik perbahasan yang utama. Para
perwakilan telah sebulat suara bersetuju untuk
mengorbankan PDS demi UPKO. Bendera PDS telah
diturunkan dan pada masa yang sama bendera UPKO
dinaikkan. UPKO kemudiannya dilancarkan semula
di Dewan Masyarakat Ranau pada 30 Oktober 1999.
Kewujudan UPKO
sekali lagi telah memberi nafas baru kepada
usaha perpaduan yang sekian lama terabai kerana
kehadiran pelbagai parti yang dikatakan mewakili
bangsa Kadazandusun. UPKO yang dilihat pada hari
ini akan mewakili semua suku kaum Anak Negeri
yang ada di Sabah. Ia akan dilihat seperti satu
gagasan di mana perjuangan setiap suku kaum Anak
Negeri akan didengari. Pada ketika ini, tidak
lagi wujud kumpulan-kumpulan yang dikatakan
sebagai pembela kaum anak negeri tetapi kesemua
kaum Anak Negeri seperti Rungus, Murut, Liwan,
Tagaas, Lotud, Bakud, Bundu, Kwijau dan Tangara
akan bernaung di bawah UPKO.
Keindahan yang
dapat dilihat hasil daripada kewujudan Parti
UPKO adalah sebenarnya sedang berada di dalam
arus pembangunan yang sebenar kerana parti ini
sekarang merupakan komponen Barisan Nasional (BN)
yang memperjuangkan hak-hak masyarakat
Kadazandusun Murut. UPKO akan menjadi
perantaraan di antara Kerajaan Negeri dan
Kerajaan Pusat untuk membawa kesejahteraan yang
diharapkan oleh semua suku kaum Kadazandusun
selama ini.
Dalam era ini
juga, setiap anggota masyarakat Kadazandusun
Murut mempunyai tanggungjawab yang besar dalam
membantu merealisasikan matlamat pembangunan
masyarakat ini. Untuk tujuan ini, parti akan
berusaha meningkatkan taraf pendidikan, mengubah
paradigma pemikiran, membentuk nilai-nilai
kepimpinan berwawasan, mempertingkatkan
kebijaksanaan dan keupayaaan pengurusan termasuk
pengurusan masa, mempertingkatkan keyakinan diri,
menanamkan sikap peneroka dan budaya korporat,
memperteguhkan institusi keluarga, mengembleng
sumber manusia terutama sekali wanita dan belia,
mempertingkatkan kesedaran kesan globalisasi
ekonomi, menanamkan sikap, disiplin, berertika,
bermoral tinggi dan beramanah, mempertingkatkan
kegiatan penyelidikan, memperhebatkan komunikasi
pembangunan dan pengukuhan institusi-institusi
sosial di akar umbi.
|
MEMPERTAHANKAN HAK ORANG-ORANG
PASOKMOMOGUN |
ASAS
perjuangan UPKO ialah membela maruah
golongan masyarakat minoriti Malaysia dari
Sabah. Ini bererti masyarakat minoriti
berhak terlibat secara aktif dalam proses
penggubalan dasar dan pembuatan kerajaan.
Dengan cara inilah Upko dapat membela maruah
masyarakat minoriti melalui peningkatan
pencapaian pembangunan sosio-ekonomi. Parti
ini telah berjuang dengan sedaya-upaya
melahirkan masyarakat KadazanDusun Murut
(KDM) yang mampu bersaing dalam sistem
pasaran ekonomi bebas dengan sistem-sistem
nilai dan kerangka mental baru yang dapat
menangani dan menghadapi cabaran-cabaran
pembangunan abad ke 21 demi tercapainya
masyarakat KDM baru.
Sama ada masyarakat KDM sedar ataupun tidak,
proses perubahan sosio-budaya sudahpun
berlaku. Oleh itu, barisan kepimpinan Upko
menyokong apa juga dasar kerajaan untuk
menyerapkan nilai-nilai keagamaan yang murni
yang terdapat dalam kesemua agama ke sistem
nilai masyarakat.
Para pemimpin Upko di semua peringkat telah
bekerja keras dengan penuh komitmen membawa
dan membimbing rakyat ke arah kecemerlangan
pembangunan sosio-ekonomi. Parti ini telah
dan akan terus melaksanakan program-program
melalui tindakan jawatankuasa-jawatankuasa
petugas khas parti seperti berikut:
-
Jawatankuasa Petugas Khas Ekonomi
-
Jawatankuasa Petugas Khas Kebudayaan KDM
berhubung dengan Dasar Kebangsaan dan
Dasar Bahasa Penghantar Rasmi
-
Jawatankuasa Petugas Khas Kedudukan KDM
dalam Perkhidmatan Awam (Negeri dan
Persekutuan)
-
Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan
Pendidikan dan Sumber Tenaga Manusia KDM
-
Jawatankuasa Petugas Khas Wanita dalam
Pembangunan
-
Jawatankuasa Petugas Khas Komunikasi
dalam Pembangunan
-
Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan
Pertanian dan Perindustrian
-
Jawatankuasa Petugas Khas
Kewarganegaraan
-
Jawatankuasa Petugas Khas Kemiskinan
-
Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan
Belia dan Kepimpinan
-
Jawatankuasa Petugas Khas Perubatan dan
Kesihatan
Dengan adanya jawatankuasa-jawatankuasa ini,
kedudukan Upko sebagai wadah perjuangan
masyarakat KDM akan lebih kukuh lagi dan
seterusnya menjadi sumbangan tidak ternilai
Upko kepada kemantapan perjuangan Barisan
Nasional menuju Wawasan 2020.
United
Pasokmomogun Kadazandusun
Murut Organisation (UPKO)
Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut
Bersatu
Pisompuruan Pasokmomogun Kadazandusun Murut