PERUTUSAN PRESIDEN UPKO
YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA BERNARD G. DOMPOK
SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE-8 BAHAGIAN UPKO

---------------------------------------------------------------------------

Salam perpaduan,

 

Kepimpinan orang Kadazandusun membuka lembaran sejarah perjuangan politik kepartian di negeri Sabah pada tahun 1961 dengan penubuhan United National Kadazan Organisation (UNKO).

 

Ke arah penyatuan dan perpaduan rumpun Pasokmomogun di atas landasan perjuangan yang kukuh, maka UNKO terpaksa dikorbankan, untuk membolehkan United Pasokmomogun Kadazan Organisation (UPKO) ditubuhkan pada tahun 1964. Maka jadilah UPKO sebagai landasan penyatuan serta wadah perjuangan pembelaan maruah orang-orang rumpun Pasokmomogun.

 

Proses pembinaan negara bangsa Malaysia dengan pelbagai ranjau dan duri menyebabkan UPKO dibubarkan pada tahun 1968. Maka orang-orang rumpun Pasokmomogun terpaksa berhijrah dan mencari tempat dan perlindungan di pelbagai parti politik.

 

Ranjau dan duri di sepanjang perjalanan perjuangan tersebut telah kita harungi sehinggalah kita diilhamkan untuk menghidupkan kembali UPKO sebagai wadah pembelaan hak-hak membangun suku bangsa kita.

 

Walaupun dalam keadaan yang amat mencabar, masyarakat Kadazandusun Murut boleh berbangga dengan beberapa kejayaan dan pencapaian UPKO yang amat memberansangkan. Di antaranya, kita berjaya mendapat pengiktirafan terhadap sumbangan serta peranan suku bangsa rumpun Pasokmomogun dalam pembinaan negara bangsa Malaysia.

 

Bahasa Kadazandusun kini sudah diajar di sekolah-sekolah kerajaan sejak tahun 1996. Sokongan serta bantuan kerajaan juga telah diberikan terhadap penubuhan serta kegiatan Yayasan Bahasa Kadazandusun dan Dewan Perniagaan dan Industri Kadazandusun. Perayaan Tadau Kaamatan juga telah diberi penghormatan untuk diraikan di peringkat nasional seiring dengan martabat, perayaan Hari Raya, Hari Gawai, Hari Tahun Baru Cina dan Deepavali. Ini bererti bahawa suku bangsa Kadazandusun dan Murut adalah telah diiktiraf sebagai salah satu daripada suku bangsa utama di negara kita Malaysia. Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (OPP3) Malaysia telah membuat perakuan bahawa, masyarakat Bumiputera Minoriti, di mana ke semua rumpun Pasokmomogun terangkum di dalamnya akan diberi "perhatian khusus" dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

 

Untuk ini semua, UPKO terus disusun dan digerakkan untuk meneruskan kesinambungan perjuangan mengatasi gejala kemiskinan, kedaifan, kemudahan infrastruktur, keterbelakangan dalam bidang pendidikan dan keterbelakangan dalam pemilikan ekuiti di sektor perdagangan dan perindustrian.

  

Untuk itu, perjuangan politik UPKO perlu dibudayakan dengan pemikiran dan sikap yang baru, iaitu sikap memberi sumbangan dan bukannya minta disumbang. Setiap ahli UPKO telah diminta untuk memeriksa diri ataupun muhasabah diri masing-masing. Tanyalah diri kita masing-masing kenapa kita telah mengambil keputusan untuk menjadi ahli UPKO. Dan setiap ahli UPKO juga telah diminta supaya berada dalam UPKO atas sebab yang betul, iaitu bersama-sama berjuang demi masa depan anak-anak dan generasi akan datang rumpun Pasokmomogun yang terjamin.

 

Dalam konteks ini, UPKO hendaklah diterima sebagai satu-satunya rumah pembelaan maruah bangsa  untuk rumpun Pasokmomogun. Suku-suku bangsa yang lain di Malaysia sudahpun mempunyai rumah mereka masing-masing. Orang-orang Melayu sudah mempunyai rumah iaitu UMNO sejak tahun 1946. Kita rumpun Pasokmomogun, baru memulakan perjuangan pada tahun 1964. Marilah pelajari apa yang orang lain telah buat kepada suku bangsa mereka masing-masing dan apa juga yang kita buat itu, kita buat sebagai sumbangan positif kita terhadap pembinaan negara bangsa Malaysia yang bersatupadu melalui prinsip dan konsep perjuangan politik Barisan Nasional.

 

Untuk itu, marilah perkukuhkan perpaduan di kalangan kita dan elakkanlah apa juga unsur-unsur yang boleh menggugat perpaduan.

 

Misompuru tokou wagu. Kotoluadan, paringkuanangan.

 

 

Selamat berjuang.

  

 

 

 

YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard G. Dompok

 

 

 

 

 

:::  HOME :::  TOP ::: PRINT :::

 

 

 
 
 
 
 
 

 


 

 

 

 

     

Copyright © 2000-2005 UPKO Online All rights reserved